Adenan yakin mampu tadbir Sarawak

0

Oleh Mastura Ismail

 

INGATAN BERSAMA: Awang Tengah (lima kiri) menyerahkan cenderamata berupa parang tempatan kepada Adenan sambil disaksikan kenamaan lain pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Dewan Suarah Limbang, semalam.

LIMBANG: Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yakin memiliki keupayaan mentadbir dan menerajui Sarawak sebagai Ketua Menteri kelima berdasarkan pengalamannya membangunkan negeri selama lebih 30 tahun dalam dunia politik.

Katanya, beliau akan membuktikan kemampuannya mentadbir Sarawak sejajar dengan tempoh 30 tahun memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan pusat.

Pada masa sama, Adenan menempelak pihak yang mempersoalkan keupayaannya memegang jawatan sebagai Ketua Menteri baharu.

“Saya akan menunjukkan bahawa saya memang boleh dan kalau mahu berjaya rakyat perlu terus memberi sokongan membangunkan negeri Sarawak,” ujarnya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Dewan Suarah di sini petang semalam.

Turut hadir isterinya Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Datuk Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Limbang Maria Hasman.

Adenan berkata, rakyat harus bekerja bersama-samanya sebagai mana yang pernah diungkapkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi.

“Untuk membangunkan negeri ini jangan bekerja untuk saya, tetapi bekerja bersama saya,” tambahnya.

Katanya, rakyat harus terus memikul amanah dan tanggungjawab memajukan Sarawak kini dan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, jelasnya permohonan pembangunan untuk Limbang akan diberi perhatian dan akan dilaksanakan.

“Apa yang diminta wakil rakyat sebelum ini sudah diluluskan kerajaan akan dilanjutkan kelulusan.

“Manakala permohonan belum diluluskan, saya akan berbincang untuk kelulusan,” katanya.

Mengenai masalah judi siber di sini, Adenan memberi jaminan akan membincangkan masalah itu dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi tindakan lanjut.

Di Kuching, katanya, tindakan membanteras termasuk serbuan di premis perjudian giat dilaksanakan.

“Perbincangan ini akan menjurus kepada langkah segera untuk menangani masalah judi siber agar masyarakat kita lebih berasa selamat,” jelasnya.

Terdahulu, Hasbi memohon kepada kerajaan untuk pembinaan kilang sawit di Limbang serta pelaksanaan empangan dan hidro mini bagi menangani masalah banjir.

Manakala, Dr Abdul Rahman mahu kerajaan melaksanakan segera pembinaan jalan raya dari Meritam hingga Pangkalan Rejab, pembinaan blok pakar dan penempatan pakar-pakar perubatan asas.