Dunia amat bergantung kepada peranan pelaut

0

SIBU: Dunia sebenarnya bergantung kepada peranan pelaut, kata Pengurus Besar Pelita Maslaut Sdn Bhd (PMSB) Mohamad Nazim Masni.

Menurutnya, mungkin ramai yang tidak mengetahui jasa warga pelaut di seluruh dunia di mana sebanyak 90 peratus daripada barang-barang keperluan isi rumah bergantung kepada pelaut.

“Setiap tahun lebih daripada 12 bilion tan barang-barang keperluan terdiri daripada makanan, pengangkutan, peralatan dan keperluan asas yang dihantar oleh 1.5 juta pelaut di seluruh dunia menggunakan pengangkutan laut untuk seramai 7.2 bilion penduduk dunia ini.

“Oleh itu, jangan memandang rendah akan kerjaya seorang pelaut kerana ia berperanan besar dan memberi impak besar kepada kita semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Konvokesyen dan Tamat Kursus Pelatih Marin Pusat Latihan Maritim Pelita Maslaut Ke-24 yang berlangsung di Dewan Suarah Sibu, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan PMSB Masni Amit, Pengarah Urusan Jaya Coastal Sdn Bhd Datuk Albert Ling, Penolong Pengarah Pejabat Yayasan Sarawak Yantiska Mahmud, Pegawai Laut Wilayah Tengah Jabatan Laut Sarawak Noorazman Abdul Wahab dan Superintenden Kru dari Syarikat Sealink Sdn Bhd Leonard Luhat.

Nazim berkata, seramai kira-kira 1.5 juta pelaut di dunia bekerja di kapal-kapal yang turut menghadapi pelbagai kesusahan dan bahaya setiap hari untuk mengekalkan ekonomi global.

“Pelaut menjalani kehidupan yang sukar, waktu kerja yang panjang dalam semua keadaan cuaca, hidup dalam keadaan yang terhad dengan peluang terhad untuk berinteraksi sosial atau berkomunikasi dengan ahli keluarga,” jelasnya.

Katanya lagi, bidang-bidang kerja ini adalah sukar dan mempunyai tahap tanggungjawab yang tinggi.

“Perpisahan daripada keluarga dan orang tersayang selama berbulan-bulan pada satu masa adalah senario yang berterusan dalam kehidupan seorang pelaut, ancaman lanun dan kapal karam adalah salah satu risiko yang sering bermain di minda pelaut,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, PMSB adalah sebuah pusat latihan maritim yang bertauliah di bawah Jabatan Laut Malaysia yang berperanan untuk menyediakan modul kursus kemahiran dan keselamatan maritim.

Institusi PMSB, jelasnya, telah memainkan peranannya untuk mendidik dengan menyediakan modul kursus yang efisien dan berkualiti bagi keperluan tenaga dan sumber dalam bidang maritim.

“Sejak PMSB ditubuhkan pada tahun 2001, kami telah melahirkan seramai 1,200 orang pelaut di kalangan belia tempatan.

“Salah satu objektif dan wawasan institusi kami adalah bagi mengurangkan kebergantungan kepada pelaut asing di mana statistik terkini hanya 40 hingga 50 peratus sahaja pelaut tempatan berkhidmat di syarikat-syarikat perkapalan di negara kita,” tambahnya.