Enam penduduk etnik Cina di bawah MDLBS terima bantuan ASW-Bandar

0

SIBU: Seramai enam penduduk etnik kaum Cina yang tinggal di kawasan seliaan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dipilih menerima bantuan pelaburan Skim Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW-Bandar).

Majlis penyampaian buku simpanan kepada para penerima terbabit diadakan pada satu majlis ringkas di bilik mesyuarat MDLBS di Tingkat 18, Wisma Sanyan di sini, kelmarin.

Penerima terdiri daripada Hua Leh Hong, Su Chui Eng, Tang Peng Bee, Ting Hua Lin, Kong Siew Lee dan Kong Keh Kim.

Pengerusi MDLBS Kaunselor James Laju Ambok ketika hadir pada majlis penyerahan buku simpanan tersebut berkata, kesemua penerima dipilih menerusi saringan yang dilakukan pihaknya.

“Kita melakukan saringan rapi untuk memastikan para penerima adalah betul-betul berkelayakan,” ujar beliau.

James turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memilih MDLBS untuk melaksanakan tugas pemilihan bagi skim berkenaan.

Katanya, dengan amanah diberikan kerajaan persekutuan, ia bermakna MDLBS sentiasa mendapat keyakinan bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga pihak kerajaan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi MDLBS Kaunselor Oliver Kuo dan Setiausaha MDLBS Justani Joni, Kaunselor Dr Ali Puji serta Kaunselor Pasang Ngalambai.