Menantu durjana

1

Oleh Watt Zacchaeus

MANGSA KERAKUSAN: Mangsa semasa tampil membuat laporan polis di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Seorang bapa kepada lapan anak ditahan polis setelah dia dilaporkan merogol ibu mentuanya, awal pagi semalam.

Menurut sumber polis, suspek berusia 42 tahun merupakan seorang penganggur dikatakan telah pergi ke rumah mangsa yang berusia 69 tahun yang terletak di sebelah rumahnya di Kampung Jeriah di sini pada jam 4 petang, Jumaat lepas.

Setibanya di rumah itu, mangsa dikatakan sedang duduk di ruang tamu sambil mengenakan kain sarung sahaja.

Mungkin melihat keadaan mangsa berpakaian begitu, nafsu suspek memuncak dan terus menerkam mangsa sambil menolaknya ke lantai.

Suspek yang bersikap seperti binatang itu kemudian terus melakukan perkara terkutuk itu dan menutup mulut mangsa apabila mangsa cuba menjerit.

Apakan daya tenaga seorang warga emas tidak mampu melawan tindakan suspek dan dia tewas jua akhirnya walaupun cuba melawan.

Berdasarkan rekod, suspek mempunyai rekod pengambilan dadah dan pecah rumah.

Dipercayai suspek melakukan perkara terkutuk itu disebabkan khayal akibat pengaruh dadah.

Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada anak perempuannya (isteri suspek) pada jam 7 malam hari yang sama.

Ahli-ahli keluarga mangsa membawa ibu mereka (mangsa) membuat laporan polis pada jam 10.30 malam kelmarin tanpa pengetahuan suspek.

Bertindak atas laporan itu, satu unit polis D7 yang diketuai Inspektor Fazirul menyerbu masuk ke rumah kayu suspek pada jam 2 pagi semalam.

Apabila polis tiba, suspek sedang tidur di dalam biliknya manakala isteri dan lapan anaknya tidur di ruang tamu.

Suspek ditahan di bawah reman tujuh hari bermula semalam.

Lapan anak suspek berusia antara satu tahun dan 20 tahun.