Ubah persepsi terhadap bidang teknikal

0

Pelajar bidang kemahiran juga berperanan menyumbang kepada ekonomi negara

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

MUKAH: Persepsi bahawa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional adalah untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik atau tercicir daripada arus perdana pendidikan perlu diubah.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, pendidikan teknikal atau vokasional hanya dapat dikuasai oleh pelajar yang mempunyai minat bidang tersebut.

Justeru, katanya, mereka mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional juga sama seperti mereka yang cemerlang akademik kerana masing-masing mempunyai masa depan yang cerah serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Oleh itu, persepsi bahawa bidang vokasional untuk pelajar kurang cemerlang dalam bidang akademik perlu diubah kerana pelajar mengambil bidang vokasional juga mampu bersaing dan menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya pada Majlis Perasmian Konvokesyen Ketujuh Politeknik Mukah (PMU) di sini, semalam.

Konvokesyen tersebut menyaksikan 634 graduan berjaya menerima diploma masing-masing melibatkan Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektronik serta Diploma Teknologi Maklumat dalam bidang Pengaturcaraan dan Rangkaian, Sesetiausahaan, Akuantasi dan Pengajian Perniagaan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Yussibnosh Balo dan Pengarah PMU Abdubrani Yunus.

Fatimah memberitahu, peluang graduan PMU dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah cerah kerana kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada institusi TVET melahirkan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran.

Beliau berkata, Sarawak memerlukan kira-kira 600,000 tenaga mahir dalam bidang teknikal menjelang tahun 2030 bagi memenuhi keperluan industri berat khususnya bagi memenuhi kekosongan ditawarkan dalam SCORE.

“Saya yakin dengan keterampilan diri, model minda, hala tuju yang dikongsi bersama serta kualiti pembelajaran dan latihan meletakkan PMU sebagai salah sebuah institusi pilihan berkualiti.

“Justeru, anak bangsa perlu dibela kerana mereka adalah pewaris masa hadapan negara dan apa yang perlu kita lakukan hari ini menentukan daya saing negara pada masa hadapan,” katanya.

Fatimah turut memberitahu, adalah sangat penting untuk memberi kesedaran tentang kepentingan latihan kemahiran kalangan pelajar sekolah menengah.

Sehubungan itu, katanya, pengajian PMU melalui transformasi mampu menarik minat pelajar pelbagai kemampuan adademik untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Justeru, PMU berusaha meningkatkan kesedaran dan menarik minat pelajar sekolah menengah dalam bidang kemahiran yang ditawarkan, tambahnya.

“Usaha Politeknik Mukah adalah mengadakan beberapa program bersama sekolah menengah di kawasan Mukah yang bertujuan memberi kesedaran kepada mereka yang bakal meninggalkan sekolah,” katanya.