Persiapan terima jenazah yang seterusnya dibincang

0

TAHNIAH: Hishammuddin menyampaikan anugerah kepada pelajar SMK Bandar Baru Sungai Buloh, Stephanie Augustine (kiri) yang meraih 7A dalam PMR pada Anugerah Kecemerlangan Akademik ATM di Wisma Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Zulkifeli (kanan) dan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mejar Jen Datuk Azizan Md Delin (tiga kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa koordinasi MH17 akan bermesyuarat sekali lagi bagi membincangkan persiapan istiadat penghormatan dan penerimaan jenazah mangsa tragedi MH17 yang dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada 30 Ogos.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mesyuarat itu antara lain akan menumpukan kepada persiapan untuk menerima jenazah dalam jumlah lebih besar.

Katanya ia bagi memastikan penghormatan sama diberikan kepada mangsa MH17.

“Jika jumlahnya besar dibandingkan dengan semalam (kelmarin) saya rasa perlu satu koordinasi yang lebih rapi dan saya panggil mesyuarat jawatankuasa selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah kecemerlangan akademik Angkatan Tentera ke-24 di Dewan Auditorium Kementerian Pertahanan, di sini, semalam.

Menurut Hishammuddin, jawatankuasa koordinasi itu dianggotai 10 kementerian, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Kesihatan.

Katanya kerajaan akan berusaha untuk kembali ke lokasi nahas bagi mencari mangsa MH17 yang belum dikenal pasti.

“Seperti yang kita tahu bahawa lokasi di Ukraine masih bergolak dan berada di zon perang. Kami perlukan sedikit masa untuk melakukannya, untuk mempercepat penyiasatan,” katanya.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh di timur Ukraine, sebuah wilayah yang dikawal oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia, pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Hishammuddin berkata sungguhpun kerajaan sibuk menguruskan mangsa nahas pesawat MH17, ia tidak pernah mengabaikan usaha untuk mencari pesawat MH370 dan menyiasat mengenai kejadian itu.

Pesawat MH370, yang dalam penerbangan ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Sebanyak 38 penumpang dan 12 anak kapal MH370 merupakan warga Malaysia.

Usaha pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi membabitkan beberapa buah negara masih diteruskan.

Sementara itu dalam sidang akhbar yang sama, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika ditanya mengenai satu perkembangan lain, berkata ujian penilaian psikologi yang dijalankan terhadap bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail telah selesai.

“Muhammad Rizalman akan dihantar ke New Zealand sebaik menerima arahan daripada Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara kerana terdapat prosedur tertentu yang perlu dipatuhi,” katanya.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei lepas dan dihadapkan di mahkamah pada hari sama atas tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Beliau sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu. — Bernama