Andrew diminta letak jawatan jika jalan tugas di bawah UPP

0

SIBU: Bekas ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Andrew Shilling diminta meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri sekiranya beliau terus menjalankan tugasnya di bawah Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Menurut kenyataan daripada SUPP Cawangan Sibu yang diterima semalam, Andrew sebelum ini telah mengeluarkan surat kepada tuai-tuai rumah dan ketua kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan.

“Surat tersebut ditandatangani oleh Andrew atas kapasitinya sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri. Surat itu menyatakan mengenai lawatan UPP ke rumah panjang dan kampung pada masa dan tarikh yang telah dinyatakan,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ini jelas menunjukkan Andrew telah menyalahgunakan jawatannya sebagai setiausaha politik kerana lawatan itu semata-mata bagi mempromosikan UPP sedangkan UPP bukan dalam kerajaan atau Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu kita menyeru beliau meletakkan jawatan sekiranya masih meneruskan tugasnya di bawah UPP dan tidak lagi berselindung di bawah Pejabat Ketua Menteri,” katanya.

SUPP Sibu juga meminta Andrew menarik kembali surat terbabit kerana ia mengelirukan semua pihak.