Golongan belia perlu jauhi pil psikotropik

0

Pencemaran budaya memberi banyak kesan kepada pembangunan modal insan

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Golongan belia dinasihati menjauhi pil psikotropik (ubat terlarang atau pil dadah/mengkhayalkan) dan alkohol sebagai persediaan menjadi pemimpin kepada pembangunan mantap Malaysia menuju negara maju.

Demikian gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Dr Abdul Rahman Junaidi yang menegaskan pencemaran budaya itu memberi banyak kesan terhadap pembangunan modal insan dan masyarakat.

“Pencemaran budaya luar, jika tersalah langkah kita akan terjebak dan ia bukan sahaja merosakkan masyarakat, malahan fizikal dan mental diri sendiri.

“Seruan kita agar kita dapat bawa golongan belia untuk penglibatan sihat pada masa hadapan. Elemen ini penting untuk melahirkan anak muda yang berdisiplin, berjati diri tinggi, bertanggungjawab, amanah dan sihat tubuh badan,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Karnival Belia Merdeka 2014 yang diadakan D’Cove Pasir Panjang Family Park semalam.

Beliau menyuarakan harapan besar untuk melihat generasi pelapis dari belasan tahun sehingga 30-an untuk memiliki jati diri serta berkeyakinan.

Majlis anjuran SABERKAS Pantai Damai bersama Catalyst Events, PBB Pantai Damai dan Sarawak FM RTM itu diadakan selama dua hari bermula semalam dan berakhir hari ini.

Pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan pihaknya bagi memberi peluang kepada para belia kota mencuba selain menunjukkan kemampuan, kebolehan dan kewibawaan masing-masing untuk dipertontonkan kepada masyarakat.

“Jangan berada di takuk lama dengan duduk sahaja di rumah atau duduk sahaja di kampung, bukakan minda dan lihat apa yang boleh kita bangunkan untuk pembangunan setempat dan masyarakat kita,” tambah Abdul Rahman lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, sempena dengan Hari Kemerdekaan sememangnya rakyat berasa beruntung menjadi rakyat di sebuah negeri dan negara yang aman sentosa.

“Sesungguhnya kita berasa bertuah kepada Tuhan kerana banyak memberi kita kebaikan dari aspek kehidupan iaitu keharmonian, kesejahteraan dan keamanan,” jelasnya.

Turut hadir Pengerusi Bersama SABERKAS Pantai Damai, Mardehi Mas.