Ilmu pengetahuan rapat jurang antara kaum

0

Oleh Borhaniza Ali Basah //

Rapat jurang perbezaan Bumiputera, bukan Bumiputera dari segi sosiobudaya, ekonomi

SIBU: Ilmu pengetahuan merupakan aspek penting yang dapat merapatkan jurang perbezaan antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera dari segi sosiobudaya dan ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata ilmu pengetahuan dapat merapatkan jurang perbezaan antara kaum di negara ini.

“Untuk mengurangkan perbezaan luar bandar dan bandar, tidak ada cara lain menangani melainkan menerusi penguasaan ilmu pengetahuan,” katanya pada Majlis Perasmian Klinik Insentif Kecemerlangan SPM 2014 (KLIK_SPM 2014) di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) yang dihadiri 200 peserta di sini semalam.

KLIK_SPM 2014 merupakan anjuran bersama Persatuan Graduan Bumiputera Sibu (PGBS) dan Pusat Khidmat DUN Nangka bermula pada 24 Ogos lalu setiap hujung minggu selama 10 minggu.

Beliau menegaskan, adalah sukar untuk merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar sekiranya ilmu pengetahuan tidak diambil peduli.

“Tanpanya ilmu pengetahuan dan tanpa pendidikan secukupnya, jurang perbezaan di antara bangsa di Malaysia dan juga antara luar bandar dan bandar tidak akan dapat diselesaikan semata-mata dengan memberi infrastruktur yang cukup,” jelasnya.

Beliau berharap program seperti itu dapat memberi manfaat kepada pelajar sebagai persediaan menduduki SPM agar mendapat keputusan cemerlang dan seterusnya berjaya meneruskan pengajian di peringkat lebih tingi.

Sementara itu, Yang Dipertua PGBS Shahrizal Azhar mengucapkan penghargaan kepada UCTS kerana menyediakan ruang belajar yang selesa kepada pelajar program KLIK_SPM 2014.

Selain itu, Timbalan Naib Canselor (Akedemik) UCTS Profesor Datuk Dr Sabarudin Mohd juga mengucapkan tahniah kepada PGBS dan Dr Annuar kerana mengadakan program seumpama ini yang belum pernah diadakan di mana-mana.

Selain itu, beliau juga menggesa pelajar program tersebut supaya mengambil peluang yang diberi agar merasai suasana berada di kolej/universiti sebagai pemangkin semangat melanjutkan pengajian di menara gading selepas tamat SPM nanti.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Salemah Chali, Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Komuniti Nangka (SPEKNA) Dr Isa Ali Wasli, Jawatankuasa PGBS dan guru-guru pakar program terbabit.