Khalid minta PR hormati, ambil kira adat dan adab

0

SEPANG: Pakatan pembangkang perlu mengambil kira dan menghormati adat dan adab Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, mereka seharusnya mematuhi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk menitahkan DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Tanpa mahu mengulas lanjut isu menteri besar Selangor, Abdul Khalid berkata beliau diarah tutup mulut berhubung isu pelantikan calon menteri besar baharu.

“Saya dinasihati lebih baik bagi menteri besar menumpukan kepada pentadbiran negeri dan bukannya melibatkan diri dalam perbincangan berhubung pelantikan menteri besar baharu.

“Terpulang kepada kebijaksanaan dan budi bicara Sultan Selangor,” kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan forum ‘Perkongsian dalam Pengurusan Alam Sekitar bagi Lautan Asia Timur (PEMSEA), Rangkaian Kerajaan Tempatan 2014’ (PNLG) di sini semalam.

Kelmarin Datuk Seri Najib Tun Razak berkata PKR gagal memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor apabila mempertikai kuasa Sultan Selangor dalam soal pelantikan menteri besar.

Perdana Menteri berkata parti itu juga sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk memastikan cita-cita untuk melantik Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor tercapai.

Semalam Sultan Sharafuddin melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan kedua-dua parti itu disifatkan telah mengingkari titah Sultan Selangor supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar. — Bernama