Anggota polis terselamat serang hendap tidak sesuai jadi penunjuk arah

0

KOTA KINABALU: Seorang anggota Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, yang terselamat daripada serang hendap di Kampung Sri Jaya di Simunul, Semporna tahun lepas, tidak sesuai menjadi penunjuk arah untuk pasukan menyelamat ketika memasuki kawasan perkampungan air, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

DSP Hisham Mahmood menjelaskan anggota SB, Sarjan Mejar Zamari Suhot bukan berasal dari Simunul atau bertugas di ibu pejabat polis Semporna.

Hisham ditanya peguam Datuk N. Sivananthan mengapa Konstabel Sukarela Polis SP Thanyman A/L Antonysamy menjadi penunjuk arah bagi pasukan menyelamat di lokasi tempur di Kampung Sri Jaya pada 3 Mac tahun lepas untuk menyelamat anggota keselamatan yang terperangkap di kampung itu, selepas melancarkan operasi pada malam sebelumnya untuk memberkas suspek yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan Lahad Datu.

Sivananthan: “Kamu kata Konstabel SP Thanyman datang bersama kamu dengan helikopter untuk menunjukkan tempat berlaku pertempuran. Adakah dia sebahagian daripada anggota operasi (serbuan).

Hisham: Saya tak tahu.

Sivananthan: Adakah kamu bertanya kepada dia bagaimana pula dia (Thanyman) tahu lokasi insiden.

Hisham: Saya tak tanya. Tetapi apa yang digambarkan dalam taklimat, lokasi kejadian berhampiran surau dan terdapat rumah berwarna ungu.

Sivananthan: Secara tepat apakah peranan Tha-nyman dalam helikopter.

Hisham: Dia ditugaskan untuk menunjuk arah di mana kedudukan surau dan rumah berwarna ungu.

Terdahulu, Hisham membuat pengecaman beberapa pakaian yang dirampas oleh pasukan forensik polis dari kawasan pertempuran di perkampungan air pada 9 Mac tahun lepas.

Antara pakaian yang ditunjukkan kepadanya oleh pasukan forensik ialah pakaian seragam penyamaran, sepasang seluar penyamaran dengan tali pinggang hitam melekat pada pinggang, kemeja-T hitam tertera perkataan ‘RAF’ dan kalimah ‘Allah’ dalam tulisan Arab di dada kiri, kemeja-T hitam lengan panjang, sepasang seluar trek hitam dan beberapa kemeja-T putih dengan perkataan Arab.

Tiga puluh tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama