Sunday, September 19

Kejayaan Dewi angkat nama Bidayuh ke persada antarabangsa

0

KUCHING: Kejayaan Dewi Liana Seriestha,25, meraih gelaran Miss Malaysia World 2014 terus mengangkat nama kaum Bidayuh ke persada antarabangsa.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, pencapaian itu merupakan sesuatu yang memberangsangkan bagi masyarakat Bidayuh selepas kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg.

Lebih membanggakan katanya, Dewi bukan sekadar cantik rupa paras malah mempunyai pelbagai bakat.

“Kita berasa amat bangga kerana anak kelahiran Sarawak yang juga Bidayuh, mendapat gelaran Miss Malaysia World 2014.

“Kita berharap Dewi dapat terus berjaya di peringkat antarabangsa, bukan sahaja bagi mengangkat nama Malaysia khasnya Sarawak, malah Bidayuh juga,” katanya ketika berucap pada majlis mengalu-alukan kepulangan Dewi Liana Seriestha di Dewan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, semalam.

Manakala Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik turut memberi nasihat agar Dewi terus rendah hati dan tidak akan lupa daratan apabila berjaya kelak.

“Saya ingin mengingatkan Dewi serta yang lain, apabila sudah berjaya walau dalam apa jua bidang, kelak jangan sesekali lupa diri khasnya ibu bapa, keluarga, bangsa serta asal,” katanya.

Ratusan peminat selain keluarga dan sahabat Dewi berkumpul di Dewan DBNA sebelum jam 2 petang bagi menyambut kedatangan ratu cantik tersebut.

Hadir sama, Datin Sri Mary Manyin, serta Menteri Muda Pembangunan Komuniti Datuk Peter Nansian.