Juruteknik disamun, ditampar dua lelaki

0

KUCHING: Seorang juruteknik dari Taman Satria Jaya berhadapan detik cemas apabila disamun dan ditampar dua lelaki di Kenyalang Park, di sini, kelmarin.

Dalam insiden sekitar jam 4 petang itu, mangsa yang hendak masuk ke dalam kereta didatangi dua lelaki tidak dikenali yang memakai topi keledar berpenutup penuh.

Salah seorang suspek dikatakan menghampiri mangsa yang berusia 26 tahun sebelum mengacukan pisau lalu mengarahkannya menyerahkan dompet.

Suspek-suspek itu dikatakan terus melarikan diri menggunakan motosikal.

Bagaimanapun nombor pendaftaran dan jenis motosikal digunakan tidak dapat dikenal pasti.

Jumlah kerugian dianggarkan hampir RM1,000.

Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes berasingan, seorang remaja, berusia 18 tahun cedera di bahagian belakang apabila diheret ketika cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut, kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

Menurut sumber, pekerja kedai kopi itu dalam perjalanan balik ke rumah sewa di Stutong Avenue apabila diekori enam lelaki yang menaiki tiga motosikal.

Salah seorang daripada lelaki itu dikatakan meragut beg tangan mangsa lalu mengakibatkan mangsa terjatuh dan diheret sehingga terpaksa melepaskan beg tersebut.

Mangsa mengalami kerugian wang tunai RM300 dan telefon bimbit Samsung Note 3 akibat kejadian tersebut.

Sementara itu, seorang kerani berusia 44 tahun turut diragut ketika sedang berjalan menuju tempat letak kereta di Eastmoore Centre, Jalan Rock di Batu 2 ½, di sini.

Insiden sekelip mata itu berlaku kira-kira jam 10 malam, apabila dua lelaki datang dari arah belakang meragut beg galas mangsa sehingga mengakibatkan mangsa terjatuh.

Mangsa dari Taman Seng Goon yang mengalami kecederaan di lengan dan lutut kiri mengalami kerugian kirakira RM1,000, telah membuat laporan polis.

Siasatan sedang dijalankan.