Sunday, July 5

Padah jual 4D haram

0

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Seorang pemilik kedai runcit disyaki terlibat dalam kegiatan menjual nombor ramalan empat digit (4D) haram diberkas polis dalam serbuan di sebuah premis di Taman Ceria, Permyjaya di sini lewat petang kelmarin.

DICEKUP: Suspek (kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri sebaik tangkapan petang kelmarin untuk membantu siasatan lanjut.

Tangkapan ke atas suspek dibuat hasil maklumat diberikan orang awam.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 6 petang, 21 September lalu, sepasukan polis menyerbu sebuah kedai di Taman Ceria, Permyjaya di sini.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan pemilik premis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual nombor 4D secara haram.

Semasa serbuan, polis turut merampas dua unit telefon bimbit jenama Nokia, dua mesin pencetak, wang tunai RM100 dan sebuah buku mengandungi pelbagai nombor dipercayai nombor yang dibeli oleh pelanggannya.

Berikutan itu, suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut berhubung kes tersebut.

Menurut sumber, suspek aktif menjalankan kegiatan menjual nombor 4D haram itu sejak beberapa tahun lalu dengan menggunakan modus operandi iaitu menerima pesanan daripada pelanggan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pagi semalam, diperintahkan supaya direman dua hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Suspek akan dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 24 September ini untuk sebutan kes.