Penduduk Kampung Pejuang Kelulit bersyukur kampung mereka berubah

0

BEKENU: Penduduk Kampung Pejuang Kelulit di sini bersyukur apabila landskap kampung terbabit berubah berbanding 2004 disebabkan pembangunan pesat dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Kaum Kampung Pejuang Kelulit Hamdan Taha berkata rata-rata penduduk bersyukur dengan kemudahan asas yang disediakan kerajaan termasuk bekalan elektrik dan air serta akses jalan raya.

“Berbanding 10 tahun lalu, penduduk terpaksa menggunakan jalan sungai untuk ke pekan Bekenu yang memakan masa tiga jam bergantung keadaan pasang surut air sungai, namun kini semua itu sudah berubah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengimbau pengalaman lalu, Hamdan berkata penduduk yang rata-ratanya petani terpaksa menghitung masa yang tepat untuk ke pekan Bekenu semata-mata untuk menjual hasil pertanian atau membeli keperluan harian.

“Jika air pasang, maka mudah untuk penduduk ke pekan berdekatan namun jika surut penduduk terpaksa berjalan kaki selama beberapa hari untuk pergi dan balik sekiranya ingin membeli barang keperluan,” jelasnya.

Berbanding sekarang kata Hamdan, jarak penduduk untuk ke pekan Bekenu hanya memakan masa 15 minit sahaja dengan kemudahah akses jalan raya, bahkan sejak itu ekonomi penduduk turut meningkat.

“Petani kini boleh menghantar dan menjual hasil pertanian mereka dengan perhubungan jalan raya dan hasil ekonomi penduduk turut meningkat malah kami disediakan kemudahan bekalan air dan elektrik,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa hampir 80 peratus kampung berkenaan telah dilengkapi akses kemudahan bekalan elektrik dan air dan ini adalah hasil pembangunan yang dilaksanakan kerajaan BN.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji jasa dan pengorbanan anak jati kampung itu yang telah banyak membawa pembangunan pesat ke kampung terbabit.

Individu yang dimaksudkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Hamdan turut mengakui kredibiliti dan kebolehan Rosey yang membawa banyak pembangunan bagi memberi keselesaan dan manfaat kepada penduduk kampung secara keseluruhannya.