Rakyat digesa tidak tolak GST

0

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat menasihati rakyat agar tidak menolak sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan pada April tahun depan.

Masir berkata, ini berikutan GST membawa faedah yang cukup besar untuk kehidupan rakyat di luar bandar dan di bandar negara ini.

Sehubungan itu, GST dapat menyumbang sejumlah RM27 bilion kepada pendapatan negara melalui hasil cukai.

“Ini mungkin dapat disalurkan kepada rakyat sebagai wang bantuan selain digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan dan sebagainya di negara ini,” katanya pada Program MEMBARA bertemakan ‘Jalinan Wanita’ di Rumah Asai, Kedumpai, Simunjan kelmarin.

Pada majlis itu, Masir menyerahkan cek peruntukan kerajaan sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Akau dan RM2,000 untuk Biro Wanitanya.

Manakala RM3,000 untuk Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) kampung itu.

Sehubungan itu, Masir berharap rakyat menghargai pembentukan Persekutuan Malaysia yang telah menyatupadukan seluruh rakyat di negara ini sejak 57 tahun lalu.

“Saya berharap rakyat terus bersatu dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi masa depan pembangunan lebih cerah,” katanya.

Turut hadir Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, Penyelia Jururawat Hospital Simunjan Winnie Kong, Datuk Johnny Alam, para pegawai kerajaan dan ketua kaum.