Remaja dan pekerja kapal ikan dibelasah

0

SIBU: Seorang remaja lelaki dibelasah lebih daripada lima lelaki semasa bersiar-siar dengan abangnya di Dataran Fasa 2 di sini malam kelmarin.

KENA BELASAH: Pekerja kapal ikan kena belasah di Pintu Gerbang Sibu awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, mangsa berusia 17 tahun yang sedang berseorangan didatangi seorang lelaki dengan sengaja melanggar bahunya.

Apabila pengadu menoleh ke belakang, lelaki itu terus mendekatinya dan menghayunkan penumbuk ke mukanya.

Tidak puas dengan tindakan itu, lelaki terbabit turut menggunakan topi keledar untuk memukul kepala mangsa.

Menurut pengadu, beberapa rakan lelaki itu turut bertindak membelasahnya menyebabkan dia mengalami lebam di muka dan badannya.

Kumpulan tersebut turut mengambil begnya yang mengandungi dompet, kad pengenalan, telefon bimbit Nokia dan kunci motosikalnya sebelum beredar dari situ.

Pengadu yang dibantu anggota RELA bertugas kemudiannya dinasihati agar membuat laporan di Balai Polis Sentral Sibu.

Dalam kes berasingan, seorang pekerja kapal ikan turut dibelasah sehingga cedera di dahi oleh sekumpulan remaja tempatan di Pintu Gerbang Sibu awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi, mangsa menuju ke rumah rakan di Jalan Lanang, di sini apabila dia didatangi sekumpulan lelaki yang bertindak memukulnya.

Mangsa terus pengsan dan hanya menyedari dia berada di Unit Kecemasan Hospital Sibu sekitar jam 8 malam.

Mangsa yang menerima lima jahitan di dahi, kemudian dihantar ke Balai Polis Sentral Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Selain telefon bimbit, mangsa juga mengadu pasportnya hilang.