Samarahan kubur impian Kuching

0

Oleh Harry Ilias//

SENGIT: Pemain Kuching (jersi putih) bersaing untuk mendapatkan bola dengan pemain Samarahan pada aksi suku akhir Piala Sarawak 2014 di Stadium Negeri, malam tadi.

KUCHING: Ikhwan Izzat muncul wira Samarahan apabila memastikan kemenangan dramatik 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas juara bertahan, Kuching pada aksi separuh akhir Piala Sarawak 2014 di Stadium Negeri, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Samarahan bertemu Sarikei, manakala SUKMA 2016 bertembung Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada separuh akhir hari ini.

Azmie Kifli hampir menjadi wira Kuching apabila menyumbat gol pendahuluan 2-1 pada minit ke-92 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh, namun Samarahan memastikan perlawanan itu sampai ke penentuan sepakan penalti dramatik apabila Ahmad Mubin Hamlet meledak gol penyamaan pada minit ke-120.

Perlawanan di antara dua tuan tumah itu pada mulanya agak seimbang dengan keduaduanya tampak berhati-hati daripada melancarkan serangan.

Samarahan terlebih dahulu meledak apabila pemainnya Epie Nizam Effendi menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-18.

Kuching selaku juara bertahan menggandakan asakan dan menyamakan kedudukan menerusi Mohd Farizal Zamri pada minit ke-36.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama dan aksi pada separuh masa kedua tidak banyak berbeza, namun serangan bertali arus keduadua pasukan gagal menghasilkan sebarang gol.

Dengan kemenangan itu, Samarahan akan bertemu Sarikei yang melangkah bergaya ke separuh akhir setelah mengatasi Sri Aman 2-0 di Stadium Mini UNIMAS semalam.

Gandingan bekas penyerang Sarawak, Zulmizan Bujang dan Paul Sambang menjadi pemusnah hasrat anak-anak buah Alfred Kendim untuk mara ke separuh akhir dengan jaringan pada minit ke-18 dan 55.

Paling mencuri tumpuan ialah skuad SUKMA 2016 yang melakar kejutan apabila berjaya menundukkan pasukan pilihan Limbang 3-0 pada perlawanan suku akhir kempen Piala Sarawak 2014 di Padang Stadium D semalam.

Ketiga-tiga gol SUKMA 2016 dijaringkan pada masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit perlawanan hasil jaringan Tommy Mawat (91), Fiqri Zulfikha (105) dan Rajeli Nusi (110).

Kejayaan itu memastikan pasukan kendalian Johnny Dominicus melangkah ke separuh akhir dan akan bertemu dengan finalis 2012, ATM di Stadium Mini UNIMAS petang ini.

ATM pula menewaskan Miri 2-0 dalam satu lagi saingan suku akhir yang berlangsung di Stadium Mini Samarahan.

Gol-gol ATM dijaringkan oleh Roka Janting (5) dan Sharudin Shafiee (36).

“Kredit kepada pemain kerana berjaya memastikan kita melangkah ke separuh akhir,” komen Johnny selepas perlawanan tamat semalam.

“Pemain telah menunjukkan permainan yang baik dan mengikut apa yang telah dirancang.

“Tahniah juga buat Limbang yang telah memberikan saingan sengit kepada kita,” katanya.

Johnny berkata, beliau tidak akan melakukan sebarang perubahan drastik terhadap strategi pasukannya pada pertemuan separuh akhir menentang ATM hari ini.

Namun beliau menyeru pemainnya agar mengekalkan momentum dan fokus bagi memburu kemenangan.