Kecuaian nyaris ragut nyawa

0

KUCHING: Tindakan cuai seorang pemandu kereta yang meluru keluar dari satu simpang sebuah stesen minyak di Batu 13 Jalan Kuching- Serian hampir meragut nyawa seorang penunggang motosikal malam kelmarin.

Difahamkan, dalam insiden tersebut, lelaki berusia 20-an itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya apabila sebuah kereta Kancil meluru keluar dari simpang stesen minyak berkenaan iaitu sekitar jam 7.30 malam.

“Berlaku perlanggaran di antara mereka selepas itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah manakala dua penumpang kereta Kancil tersebut turut tercedera.

“Mangsa yang turut dikhuatiri mengalami patah tulang kaki dan tangannya itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan yang tiba di tempat kejadian semasa menjalankan siasatan mendapati motosikal yang ditunggang mangsa menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Motosikal mangsa kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.