Ketua masyarakat tonggak kekuatan BN di luar bandar, kata Harden

0

SRI AMAN: Kekuatan Barisan Nasional (BN) di luar bandar ditunjangi barisan ketua masyarakat di setiap rumah panjang atau kampung menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, ketua masyarakat seperti tuai rumah atau ketua kampung memainkan peranan penting dalam menyebar dasar pembangunan kerajaan dalam kalangan penduduk dari semasa ke semasa.

“Saya yakin rakyat di negeri ini termasuk di Sri Aman akan dapat memahami usaha pembangunan oleh kerajaan jika kumpulan ini memainkan peranan dengan berkesan,” katanya.

Harden yang juga Menteri Muda Perumahan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Kaum Kawasan Sri Aman di sini baru-baru ini.

Menurut Anggota Dewan Undanagan Negeri Simanggang itu, kegagalan ketua kaum berbuat demikian boleh menjejas sokongan penduduk luar bandar terhadap BN yang tidak faham mengenai dasar pembangunan kerajaan sebelum itu.

“Ia juga mudah menjadi bahan ekpsloitasi parti pembangkang seterusnya menjejaskan kedudukan BN di kawasan luar bandar.

“Saya berharap ketua kaum dapat memainkan peranan dengan lebih serius agar penduduk luar bandar dapat menikmati kesenangan hasil projek pembangunan yang dirancang kerajaan,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Sri Aman Temenggung Samuel Lawen, penerima pingat George Cross Awang Raweng dan ketua kaum sekitar Sri Aman.