Pusat Pameran Honda 3S di Petra Jaya akan naikkan nama Kuching

0

KUCHING: Pusat Pameran Honda 3S yang terletak di Petra Jaya, di sini bakal menjadi salah satu jenama yang akan menaikkan nama bandar raya ini.

Menurut Pengarah Urusan Northmont Capital Sdn Bhd Fariz Salleh Mohamad Ali, pusat pameran baharu Honda 3S bakal dibina bertentangan dengan pusat pameran kini di Jalan Tun Andul Rahman Yakub di sini, di atas tanah seluas 1.8 ekar.

“Pusat 3S baharu Honda bakal menyaksikan 21 tapak dok servis, bilik pameran yang dapat memuatkan kira-kira lapan kereta serta ruang menunggu eksklusif buat pelanggan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun Pertama Northmont Capital Sdn Bhd, semalam.

Beliau turut mendedahkan bahawa pembinaan pusat 3S baharu itu juga menelan kos mencecah RM15 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2016.

Dalam perkembangan lain, Fariz berkata pihaknya menyasarkan jualan sehingga 750 unit kenderaan pada tahun ini dan setakat semalam, 532 unit telah berjaya dijual.

“Dengan ASEAN Free Trade Area (AFTA) yang akan mula dilaksanakan pada 2015, kami menjangkakan jualan kenderaan meningkat memandangkan harga kenderaan yang dijual adalah rendah.

“Sebagai contoh, Honda Jazz kini mencapai tawaran harga menarik iaitu kira-kira RM72,000 seunit,” jelasnya.

Tambahnya, tidak mustahil bagi pengeluar mencecah jualan dalam 800 hingga 850 unit kenderaan dalam tempoh setahun selain turut melahirkan perasaan yakin akan mencapai sasaran tersebut.

Sambutan ulang tahun tersebut disambut dua hari berturut-turut menyaksikan gerai pameran dan permainan interaktif dikelola penganjur untuk pelbagai tetamu jemputan.

Hadir sama ialah Pengurus Jualan Northmont Capital Sdn Bhd Yusuf Mohamad.