Sarawak catat FDI tertinggi di Malaysia

0

Catat pelaburan RM7.5 bilion pada tempoh lima bulan pertama 2014, RM5.1 bilion adalah daripada Jepun 

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Sarawak mencatat-kan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM7.5 bilion pada tempoh lima bulan pertama 2014 yang sekali gus menjadi negeri yang tertinggi di negara ini.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi berkata, kebanyakan FDI dari Januari hingga Mei itu adalah daripada Jepun yang menyumbang sebanyak RM5.1 bilion daripada jumlah terbabit.

“Dari Januari hingga Mei 2014 kita menerima FDI sebanyak RM7.5 billion dan RM5.1 bilion adalah daripada pelabur Jepun.

“Jika dibandingkan dengan FDI dan pelaburan domestik yang di-catatkan kita pada tahun lepas secara keseluruhannya adalah RM8.3 bilion, iaitu RM6.8 bilion FDI dan RM1.5 pelaburan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada wakil Japan Bank for International Co-orperation, yang berpangkalan di Singapura iaitu Fumitaka Machinda dan Takao Kawasaki di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Julaihi, FDI tahun ini juga kebanyakannya datang daripada kawasan perindustrian Samalaju di Bintulu selain di Tanjung Manis.

Katanya beliau menjangkakan Sarawak akan menerima lebih ba-nyak pelaburan FDI dan domestik menjelang penghujung tahun ini berdasarkan minat serta perhatian daripada beberapa syarikat dari luar terhadap negeri ini.

“Kita menggalakkan lebih ramai pelabur datang melabur di sini dan kita tidak dapat menjangkakan angka secara keseluruhan tetapi yang pasti kita menerima perhatian serta minat daripada negara luar.

“Kita tetap masih menjadi des-tinasi pelaburan yang menarik di negara ini oleh pelabur luar malahan lima bulan pertama FDI kita menunjukkan statistik yang memberangsangkan,” tegasnya.

Mengulas mengenai kunjungan delegasi itu semalam, Julaihi berkata rombongan Jepun berkenaan mahu mengetahui lebih lanjut tentang peluang pelaburan di Sarawak buat masa kini.

“Difahamkan juga mereka kini sedang memikirkan untuk memindahkan produk keluaran mereka di luar Jepun khasnya Malaysia yang menjadi destinasi.

“Daripada itu mereka menunjukkan minat dalam  industri ber-asaskan tenaga, yang mana mereka merasakan Sarawak memenuhi kehendak mereka iaitu menawarkan harga yang murah,” katanya.

Sehubungan itu beliau memberitahu, Sarawak mengalukan minat mereka itu dan menasihati mereka supaya datang ke Sarawak pada masa akan datang bagi membincangkan selain memperkenalkan pelabur yang berminat.