Hospital Kapit perlu lebih ramai doktor pakar

0

Ramai pesakit enggan dirujuk ke Hospital Sibu atas faktor kewangan, jarak perjalanan dan masa

Oleh Florence Nervyn //

KAPIT: Lebih ramai doktor pakar perlu ditempatkan di Hospital Kapit untuk memberi kemudahan perubatan yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Jefferson Jamit Unyat berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri harus menimbang untuk menempatkan lebih ramai pegawai kesihatan kanan dan pakar bedah umum untuk berkhidmat di Hospital Kapit.

“Pesakit perlu dirujuk ke Hospital Sibu disebabkan ketiadaan pakar bedah umum, walaupun Hospital Kapit dilengkapi kemudahan dewan bedah. Keadaan ini telah menyebabkan kerugian masa dan membahayakan pesakit.

“Ini disebabkan jarak masa yang diperlukan untuk menghantar pesakit dari Hospital Kapit ke Hospital Sibu memakan masa kira-kira lima hingga empat jam,” ujarnya yang berharap Kementerian Kesihatan memandang serius serta mengambil tindakan ke atas perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika meraikan kehadiran Pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan Kapit baharu, Dr Hasrina Hassan di Tekam Café, Hotel Meligai di sini, baru-baru ini.

Turut hadir doktor yang berkhidmat di Poliklinik Bletih iaitu Dr Khataumal Lohana, Dr Winnie, Dr Voon, Dr Laura dan Dr Eugene serta Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kapit, Edward Manggah.

Menurut sumber dari Lembaga Hospital Kapit, sekitar dua kes dirujuk dari Hospital Kapit ke Hospital Sibu setiap hari, menjadikan purata kira-kira 60 hingga 70 kes dirujuk setiap bulan.

Justeru, Edward berkata, kebanyakan pesakit enggan dirujuk ke Hospital Sibu disebabkan faktor jarak perjalanan yang jauh dan masalah kewangan. “Ramai pesakit daripada keluarga miskin dan tidak mampu menampung perbelanjaan dan perlu ditemani ahli keluarga ketika dirawat di Hospital Sibu.

“Namun, keadaan mungkin berbeza jika pegawai kesihatan kanan dan pakar bedah umum dapat ditempat di Hospital Kapit. Pesakit dapat mendapatkan rawatan di hospital sini,” katanya.

Sementara itu, ketika mengalu-alukan kedatangan Dr Hasrina, Jefferson dalam ucapannya berkata berkhidmat di bahagian Kapit disifat sebagai agak mencabar disebab faktor geografi dan sungai yang menjadi pengangkutan utama penduduk.

“Meskipun perkhidmatan kesihatan di Kapit telah bertambah baik sejak beberapa tahun, namun sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan dilakukan dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk Kapit.

“Saya percaya Dr Hasrina dan pasukan kakitangan kesihatan mampu  menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan tahap kesedaran mendidik orang ramai terutamanya tentang kepentingan kesihatan oral,” jelasnya.

Dr Hasrina yang pernah berkhidmat di Hospital Sarikei mengambil alih jawatan Dr Mohd Shirul Yong sebagai Pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan Kapit baharu.

Manakala, Dr Mohd Shirul Yong memegang jawatan baharu sebagai Pengarah Hospital Daerah Betong.