Ahmad Zahid lancarkan buku ‘A Policeman’ karya Wan Junaidi

0

KUCHING: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan buku ‘A Policeman’ hasil karya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga merupakan Timbalannya.

LANCAR: Zahid melancarkan buku ‘A Policeman’ hasil karya Dr Wan Junaidi (kiri) pada majlis penutupan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2014 di Kuching malam kelmarin.

Selain mengisahkan kehidupan Wan Junaidi sebagai pegawai polis, buku ini juga mengandungi maklumat berguna berkaitan sejarah ketika era ancaman pengganas komunis di Sarawak.

Bercakap pada majlis penutupan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2014 di salah sebuah hotel di sini malam kelmarin, Ahmad Zahid yakin buku itu akan memberikan manfaat kepada pegawai polis, pegawai-pegawai kerajaan, para pelajar dan masyarakat umumnya.

Malah, beliau berharap usaha seperti ini akan dicontohi oleh warga KDN dan dijadikan penyuntik semangat untuk menulis buka berkaitan keselamatn  dan ketenteraman awam.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata Kementerian Dalam Negeri sedang menggubal Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurut beliau, rangka dasar berkenaan telahpun siap dan kini sedang dalam proses mendapatkan maklum balas daripada rakyat melalui Town Hall Meeting (THM) yang dilaksanakan mengikut zon.

“Berdasarkan maklumbalas yang diterima, rata-rata peserta THM bersetuju dan menyokong tindakan kementerian menggubal DKDN demi menjaga keselamatan negara.

“Malah mereka mahukan supaya THM ini diteruskan dengan memberi fokus kepada kumpulan sasar yang tepat.

“Ini memberi gambaran bahawa tindakan yang diambil oleh kementerian ini berada pada landasan yang betul dan mendapat sokongan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai seminar tersebut, Ahmad Zahid berkata ia merupakan program perkongsian ilmu yang diadakan setiap tahun dengan tema-tema khusus tetapi tidak lari dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Untuk seminar kali ini, katanya, tema yang dipilih ialah ‘Cabaran Pelaksanaan Akta Pencegahan Jenayah 2014’ atau POCA yang bertujuan mendapatkan input daripada pegawai-pegawai yang melaksanakannya,

Input seperti ini, katanya, amat penting bagi membantu kerajaan khususnya KDN membuat penilaian keberkesanan pelaksanaan POCA.

Pada majlis itu, turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta yang lain.

Buku ‘A Policeman’ karya Wan Junaidi yang memaparkan pelbagai maklumat berguna dilancar.