Lelaki warga Itali hilang tanpa kesan di Lahad Datu

0

Oleh I.SAB KHAN MUKARAB SHAH

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Itali dilaporkan hilang tanpa kesan sejak tiba di daerah Lahad Datu pada minggu lepas.

Mangsa, William Bocchi, 52, difahamkan berada di negeri ini (Lahad Datu) atas urusan perniagaan dan bertemu pelanggan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan laporan berkenaan dan pihaknya sedang giat memperhebat gerakan mengesan mangsa.

“William yang berkerja sebagai jurujual dilaporkan tiba di Lahad Datu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengahari, 13 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba mangsa dikatakan tidak dapat dikesan serta tidak menghubungi rakannya hingga kini. Dia sepatutnya pulang ke negara asalnya Khamis lalu, namun tidak berbuat demikian seperti yang dijadualkan,” katanya.

Jalaluddin berkata, siasatan menunjukkan kali terakhir William menghubungi rakannya di Itali ialah pada 13 Oktober lalu dengan memaklumkan bahawa beliau berada di Lahad Datu.

“Bocchi tidak menyatakan lokasi atau tujuannya berada di Lahad Datu dan selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan mangsa tidak berhasil, seorang rakannya di Kuala Lumpur menghubungi kenalannya di Lahad Datu sebelum membuat laporan polis.

“Berikutan itu, polis menggerakkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan bantuan Cawangan Khas untuk mengesan lelaki warga Itali berkenaan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, antara lokasi tumpuan pencarian termasuk di hotel, lapangan terbang, hospital, motel dan rumah tumpangan selain pusat peranginan di sekitar daerah itu.