Kaum Dayak perlu ubah pemikiran

0

SRI AMAN: Masyarakat Dayak perlu ubah cara pemikiran dalam segala aspek kehidupan jika ingin mencapai kemajuan, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut beliau, dalam dunia serba moden kini masyarakat Dayak perlu bergerak pantas seiring dengan masyarakat lain agar bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

“Perubahan minda daripada lama kepada baharu penting bagi masyarakat Dayak sekiranya ingin maju seperti masyarakat lain.

“Cabaran zaman moden menuntut kita menerokai pelbagai bidang dan tidak boleh bergantung kepada satu bidang sahaja,” katanya pada Majlis Makan Malam ‘Jiran Mesra Keluarga Bahagia’ anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Nanang dan Munggu Sabun di sini malam kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata, masyarakat Dayak harus mencontohi kaum Cina dan Melayu yang maju dalam banyak bidang khususnya perniagaan.

Harden turut mengingatkan rakyat agar berfikiran terbuka dan menyokong dasar-dasar pembangunan kerajaan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Katanya sokongan padu rakyat pelbagai kaum amat diperlukan dalam memastikan pembangunan berjaya direalisasikan.

“Rakyat sedar dan mahukan pembangunan berterusan.

“Oleh itu, sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Naib Pengerusi Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang Patrick Michael Malajin, Pengerusi JKKK Peter Finch, Pengerusi Biro Wanita Rebecca Sambai serta ketua-ketua masyarakat.

Harden mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada JKKK dan RM3,000 kepada Biro Wanitanya manakala Masir turut memperuntukkan RM3,000 kepada JKKK berkenaan.