Wednesday, June 26

Khazanah tekstil Sarawak perlu dipertahankan

0

Oleh Sandy Mark Luna

 

MENARIK: Liwan mendengar taklimat mengenai baju vest yang diperbuat daripada kulit kayu dipamerkan pada Pameran Wastra di Muzium Tekstil di Kuching, semalam. Turut kelihatan, Ipoi (dua kanan).

KUCHING: Khazanah tekstil yang pelbagai di Sarawak perlu dipertahan untuk tatapan generasi akan datang.

Menurut Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, tekstil memainkan peranan penting dalam adat budaya masyarakat di negeri ini, contohnya pua kumbu yang penghasilan motifnya bergantung kepada kedudukan penenun, masih dianggap sebagai suci oleh kaum Iban.

“Di negara-negara jiran kita, tekstil dianggap harta pusaka yang harus dipertahankan walaupun terpaksa bertarung nyawa seperti di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan, Liwan Lagang sempena Pameran Wastra Borneo 2014 di Muzium Tekstil di sini, semalam.

Mawan berkata masyarakat Borneo sememangnya kaya dengan khazanah warisan tekstil seperti pua kumbu, songket, batik yang telah menjadi ‘connoisseurs items’ dan boleh didapati di kebanyakan muzium-muzium terkemuka dunia.

Bukan itu sahaja katanya, keunikan terhasil daripada seni dan ilham tinggi telah diperkaya oleh penggemar-penggemar fesyen negara yang menyelitkan elemen songket atau pua kumbu dalam rekaan mereka.

Pameran Wastra Borneo bertemakan ‘Serupa Tapi Tak Sama:Mengasyikkan’ ini merupakan salah satu usaha mempertingkatkan jalinan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam di bawah program Forum Sosial Ekonomi Malaysia Indonesia (SOSEK MALINDO).

Pameran itu katanya lagi, sudah tentu akan terus memperkukuhkan ikatan kejiranan dan kesefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di Borneo yang terkenal dengan kekayaan adat resam dan khazanah warisan budaya.

“Adalah menjadi harapan saya agar pameran seperti ini dapat membantu mewujudkan hubungan dua hala yang harmorni dan penghargaan terhadap budaya wastra (tekstil) yang kita miliki sebagai salah satu aspek dalam memperkukuh jati diri bangsa,” katanya.

Ia turut bertujuan mengeratkan lagi kerjasama antara muzium-muzium di Kepulauan Borneo, mempamerkan kepelbagaian koleksi tekstil yang terdapat di kepulauan ketiga terbesar di dunia ini, selain meningkatkan kesedaran masyarakat luar terhadap kekayaan dan keunikan yang terdapat pada koleksi tekstil.

Dalam pameran itu, beberapa aktiviti seperti demonstrasi daripana penenun pua kumbu, songket dan kulit kayu diadakan, selain peragaan fesyen daripada peserta pameran iaitu Muzium Kapuas Raya dan pereka tempatan.

Pameran itu yang mula dianjurkan pada tahun lepas, akan diadakan di Muzium Brunei pada tahun depan.