10,716 kes mati kemalangan menjelang 2020

0

Oleh Rosemaria Buma

 

TINDAKAN TEGAS: Ismail (duduk tengah) ketika bercakap pada sidang media. Turut hadir Ibrahim (kiri) dan Ahmad (kanan) di Miri semalam.

MIRI: Dianggarkan sebanyak 10,716 kes kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di Malaysia menjelang 2020 sekiranya tidak ada sebarang langkah penguatkuasaan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya perlu mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pada 2020 iaitu memastikan indeks kematian di jalan raya dapat dikurangkan.

“Kita ada KPI untuk 2020 yang perlu dicapai iaitu memastikan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya yang kini berada pada tahap 2.9 peratus dapat dikurangkan kepada 2.0 peratus bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar menjelang 2020.

“Kita memastikan kematian jalan raya tidak melebihi 5,358 kes pada 2020. Justeru kalau kita tidak ambil apa-apa tindakan dianggarkan 10,716 kes kematian bakal direkodkan menjelang tahun tersebut,” katanya sambil menegaskan bahawa kemalangan dan kematian di jalan raya merupakan ancaman kepada negara.

Beliau memberitahu demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota penguat kuasa JPJ dari bahagian Mukah, Sibu, Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Penguat Kuasa JPJ Ahmad Nasri Abdul Gani dan Pengarah JPJ Negeri Ibrahim Othman.

Menurut Ismail, pada 2015, JPJ akan memperkenal beberapa perkara baharu kepada orang ramai bagi memastikan peranannya sebagai salah sebuah agensi penguatkuasaan di negara ini kekal relevan dan sentiasa responsif terhadap keperluan masyarakat.

“Justeru mulai 1 Januari tahun depan, kita akan menggerakkan Skuad Muda 1JPJ dan melaksanakan program Mylesen iaitu satu program untuk melesenkan anggota masyarakat yang belum mempunyai lesen memandu.

“JPJ juga akan masuk ke sekolah untuk memperkenalkan Kadet JPJ di sekolah-sekolah di seluruh negara,” ujarnya.

Berkaitan larangan penggunaan cermin gelap, Ismail menjelaskan bahawa pemilik kenderaan boleh menggunakan cermin gelap dengan syarat hendaklah mematuhi peraturan baharu yang dikuatkuasakan mulai 1 November ini.

Katanya mengikut peraturan baharu itu pemilik kenderaan boleh menggunakan cermin gelap dengan syarat hendaklah mematuhi kadar ketelusan cahaya dibenarkan iaitu 70 peratus bagi cermin depan, 50 peratus bagi cermin sisi sebelah pemandu, 30 peratus bagi cermin tempat duduk belakang dan 30 peratus untuk cermin belakang.

“Manakala penggunaan ‘strobe light’ dan lampu HID tiruan atau yang tidak menepati spesifikasi dibenarkan adalah dilarang.

“Kita juga melaksanakan penguatkuasaan penggunaan nombor plat yang tidak mengikut saiz ditetapkan.

“Kenderaan hanya boleh menggunakan tiga cahaya lampu iaitu lampu putih, kuning dan merah,” katanya sambil memberitahu bahawa satu operasi khas diadakan serentak di seluruh negara pada 1 November depan.