Usaha cegah jenayah, aktiviti jenayah perlu penyertaan semua pihak: Lee

0

KUCHING: Usaha mencegah jenayah atau aktiviti jenayah yang berkesan memerlukan penyertaan aktif pelbagai lapisan masyarakat dan sektor di negara ini.

Menurut Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, jenayah dan aktiviti jenayah sering menjadi isu membimbangkan semua rakyat Malaysia, yang kadangkala berlaku trauma dirasai mangsanya.

Katanya kebanyakan jenayah yang berlaku sangat kejam serta meninggalkan kesan emosi yang sangat mendalam kepada ramai mangsa.

“Pada hakikatnya kejadian jenayah tetap akan berlaku di mana-mana negara selagi ada punca dan individu yang berkecenderungan untuk melakukan jenayah dan Malaysia tidak terkecuali.

“Adalah mustahil untuk mengharapkan sesebuah negara yang benar-benar bebas daripada jenayah tetapi apa yang mungkin ialah dengan mengambil segala langkah yang perlu untuk mengurangkan kejadian jenayah atau mencegahnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, semalam.

Jelas Lee, pencegahan jenayah yang berkesan mempunyai manfaat jangka panjang dari segi mengurangkan kos yang berkaitan dengan sistem keadilan jenayah dan kos-kos lain yang berpunca daripada jenayah.

Meskipun demikian kata beliau, pihak polis perlu bertungkus-lumus meneruskan usaha-usaha mengurangkan jenayah dan memberi komitmen yang lebih tinggi untuk memerangi dan mencegah jenayah.

Selain itu, MCPF katanya mahu melihat kebimbangan yang semakin meningkat terhadap jenayah dapat diterjemahkan dengan lebih banyak penyertaan orang ramai dalam program-program pencegahan jenayah dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak MCPF.

“Diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti dan program pencegahan jenayah yang dianjurkan oleh persatuan penduduk di kawasan mereka sendiri, pertubuhan perniagaan mahupun mana-mana NGO lain untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang apa yang boleh dan perlu dilakukan untuk mencegah jenayah,” katanya.

Beliau menjelaskan, matlamat utama adalah untuk memupuk budaya pencegahan jenayah di kalangan masyarakat supaya tiada siapa pun akan mengambil mudah tentang keselamatan.

“Tugas utama Polis Diraja Malaysia adalah membanteras jenayah dan perlu memperkukuhkan keupayaan dan sumber-sumber sedia ada serta menunjukkan prestasi yang lebih baik untuk memerangi jenayah.

“Apa yang pihak polis perlu lakukan adalah mencapai kadar penyelesaian kes jenayah yang lebih baik, kebijaksanaan serta pengumpulan maklumat ke arah mengurangkan sasaran penjenayah,” tegasnya.

Bagaimanapun kata beliau, masyarakat perlu peka dan sentiasa memerhatikan usaha pihak polis memerangi jenayah dan mencari jalan bagaimana kita boleh membantu.

Katanya bukan sahaja untuk membina persepsi masyarakat yang positif, tetapi juga untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap polis dengan membuktikan bahawa pasukan polis benar-benar profesional serta melaksanakan tugas secara berintegriti.

Dalam menangani isu persepsi, apa yang penting bukan sahaja untuk memastikan kehadiran polis di semua kawasan yang sering berlaku jenayah tetapi juga untuk memastikan penugasan lebih ramai anggota polis menjalankan rondaan dan mesra berinteraksi dengan orang ramai, ujarnya.

“Pihak polis juga perlu meningkatkan latihan atau menjalani kursus-kursus yang berkaitan dengan kemahiran komunikasi insaniah untuk meningkatkan interaksi mereka dengan orang ramai apabila berhadapan dengan situasi yang sukar, sekali gus dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat,” katanya.