UCTS lancar institut teknologi tanah gambut

0

SIBU: Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) bakal melancarkan Peat Technology Research Institute (PETRI), sebuah institut memfokus kepada teknologi tanah gambut.

Timbalan Naib Censelor UCTS Profesor Datuk Dr Sabarudin Mohd berkata institut kajian itu memainkan peranan penting dalam menyediakan pengetahuan teknikal dan saintifik pembangunan mampan kawasan tanah gambut terutama di Sarawak.

Menurutnya, institut itu juga mampu memberi kepakaran dan keperluan modal insan memudahkan pembangunan infrastruktur di negara ini.

Institut itu juga bertujuan menjadi pusat kecemerlangan, menyediakan peluang penyelidikan, nasihat pakar, perkhidmatan perundingan dan kemajuan teknologi.

“Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi (SKT), UCTS mengenal pasti ‘Geotechnical dan Geo-environment’ sebagai salah satu sandaran bidang penyelidikan yang memberi tumpuan pembangunan tanah-tanah gambut yang mampan.

“Bagi memudahkan inisiatif ini, SKT merancang bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),” katanya pada sidang media di UCTS kelmarin.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara UTHM dan UCTS untuk usaha ini.

Selain UTHM, SKT juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Menurut beliau, Malaysia merupakan negara kesembilan dengan jumlah kawasan tertinggi tanah gambut.

Jumlah kawasan tanah gambut di negara ini kira-kira 2.6 juta hektar (26,000km persegi) dan kira-kira 13 peratus berada di Semenanjung Malaysia, lebih 80 peratus di Sarawak dan lima peratus di Sabah.

“Sibu mempunyai kira-kira 550,000km persegi kawasan tanah gambut, terbesar di Sarawak,” ujar beliau.

Berhubung PETRI, upacara pelancaran diadakan pada 1 Disember depan, jam 8 pagi dan sempena pelancaran tersebut, UCTS juga merancang mengadakan seminar sehari mengenai isu-isu semasa teknologi tanah gambut, peluang dan cabaran terutama dalam sektor pembinaan.

Yuran dikenakan menyertai seminar itu ialah RM200 seorang dan individu berminat digalakkan menyertai seminar terutama mereka mempunyai bidang berkaitan dengan pembinaan, perundingan dan lain-lain.

Borang penyertaan boleh didapati di UCTS atau boleh terus mendaftar secara ‘online’  di laman web www.ucts.edu.my.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi talian 084-367300 atau layari di website www.ucts.edu.my.

Tiga kertas kerja utama dibentangkan pada seminar itu nanti, pertama dibentangkan Presiden Malaysia Society of Engineering Technologist (MySET) Datuk Dr Abang Abdullah yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Perumahan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dua pembentang lain ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Fauziah Ahmad dan Ketua Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS), Universiti Tun Hussain Onn (UTHM) Profesor Datuk Dr Ismail Bakar.