Kebas harta bapa

1

Oleh Michael Ubam //

Wanita curi wang, barang kemas, peluru, jam berjenama dan geran tanah bapanya kerana tidak mampu bayar kos pengubahsuaian kedai

MASIH DISIASAT: Seorang anggota polis memeriksa dua laras senapang milik pengadu di Balai Polis Sentral Sibu.

SIBU: Gara-gara menghadapi masalah untuk membayar kos pengubahsuaian kedai, seorang wanita sanggup mencuri wang, barang kemas, peluru, jam berjenama dan geran tanah milik bapanya di sebuah rumah di Jalan Ai Ding dekat sini.

Dalam kejadian pada jam 8.00 pagi Rabu lepas, pengadu yang juga pesara berusia 78 tahun, mendapati barang-barang berkenaan telah hilang dan mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh anak perempuannya yang berumur 35 tahun.

Antara barang yang dilaporkan hilang termasuk wang tunai AS$8,000, RM3,000,barang kemas bernilai RM20,000, 100 butir peluru .22, 1,500 butir peluru, jam tangan Rolex bernilai RM30,000 dan geran tanah.

Difahamkan suspek pernah meminta bantuan bapanya menyelesaikan masalah kewangan namun tidak diendahkan pengadu.

Bertindak atas maklumat, pasukan polis telah pergi ke rumah pengadu dan mendapati tiada kesan pecah masuk dikesan di pintu utama atau di pintu bilik pengadu.

Menurut laporan, barangan yang dilaporkan hilang tersebut telah disimpan di dalam satu peti besi yang terletak di bahagian bawah almari pakaian dan terletak pada dinding.

Pihak polis yang memeriksa peti besi tersebut telah menjumpai selaras senapang patah 12 Bore DBBL dalam keadaan dileraikan.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis  juga menjumpai selaras senapang Rifle.22 yang diletakkan di belakang katil di dalam bilik tidur pengadu.

Menurut pengadu hanya dia, isteri serta anak perempuannya yang tinggal di rumah tersebut.

Polis kemudian pergi ke sebuah rumah di Jalan Taman Damai di Jalan Tun Abang Haji Openg untuk menahan suspek.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek telah mencuri dan menyembunyikan peluru di dalam biliknya dua minggu lalu sebelum laporan polis dibuat.

Polis kemudian mendapati suspek telah menggunakan wang yang dicurinya manakala barang kemas berkenaan telah dijual dengan nilai RM30,000 di sebuah kedai emas di bandar ini.

Suspek kemudian menunjukkan kepada pihak polis tempat dia menyimpan peluru dan barang-barang yang disembunyikan di bawah katil di dalam biliknya.

Antara barang-barang yang ditemui semula termasuk peluru .22 sebanyak 2,850 butir, peluru 12 bore (570 butir), seutas jam tangan Rolex, dua bentuk loket jed dan masing-masing sebentuk cincin dan subang.

Ketua Polis Daerah Sibu Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Suspek dikatakan menjalankan perniagaan menjual aksesori wanita dan alat tulis.

Sebelum ini suspek dipercayai mengalami masalah untuk membayar kos pengubahsuaian kedainya dan masalah untuk membayar stok barangan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.