Lemas ketika memancing

0

Budak jatuh sungai ditemui mati lemas

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui mati lemas selepas terjatuh ketika memancing ikan bersama rakan-rakannya di Sungai Pending di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Sallehudin Ismaili ditemui oleh Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat sekitar jam 5.50 petang kira-kira 10 meter dari tempat mangsa terjatuh.

Menurut jurucakap bomba, mangsa dilaporkan terjatuh ke sungai tersebut yang terletak di belakang kilang CMS, Jalan Pending di sini pada jam 2.20 petang.

“Mangsa ketika kejadian bersama rakan-rakannya memancing di situ sebelum dia tiba-tiba terjatuh dan keadaan tambah merumitkan apabila mangsa yang tidak pandai berenang terus dihanyutkan air.

“Rakan-rakan mangsa sempat melihat mangsa terkapai-kapai meminta pertolongan, namun dia terus hilang dari pandangan mereka menyebabkan mereka segera mendapatkan pertolongan daripada penduduk berdekatan,” katanya.

Orang awam yang menyedari insiden tersebut terus menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

Ibu mangsa, Khamisiah Abdullah, 49, memberitahu anaknya pulang sekolah seperti biasa sekitar jam 12 tengah hari sebelum keluar semula dengan alasan ada aktiviti di sekolah.

“Dia sampai ke rumah tadi (semalam) dalam jam 12.30 dan tidak lama lepas itu, dia cakap hendak keluar semula kerana ada aktiviti di sekolah pada jam 1 petang. Tanpa mencurigai apa-apa, saya membenarkan dia pergi.

“Tidak tahu pula dia pergi ke sini selepas itu kerana dia memang tahu saya melarang dia bermain di kawasan ini,” kata ibunya yang tidak lagi dapat menahan kesedihannya.

Mangsa merupakan anak bongsu daripada lima adik- beradik.