Empat beradik dihalau ibu kini di Hospital Sibu

5

SIBU: Empat kanak-kanak berusia antara dua hingga tujuh tahun yang dijumpai polis berlegar tanpa arah tujuan di Sibu Jaya kelmarin kini ditempatkan di Hospital Sibu.

Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu Mohd Guntor Rajaee berkata buat masa ini kanakkanak terbabit masih ditempatkan di Hospital Sibu buat sementara.

“Buat masa ini, kes terbabit masih dalam siasatan polis. JKM menyerahkannya kepada polis untuk mengendalikan kes itu sehingga siasatan dijalankan.

“Saya tidak dapat memberi komen lanjut tentang kes itu kerana masih dalam siasatan polis, begitu juga dengan pihak hospital,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Usaha pihak media mendapatkan perkembangan empat kanak-kanak terbabit di Hospital Sibu semalam gagal kerana mereka dikawal rapi polis dan sebarang liputan media tidak dibenarkan.

Empat kanak-kanak terbabit hanya dikenali sebagai Menai, 7, Iyen, 7, Ecah, 4, dan Olivia, 2, dan dipercayai berketurunan Iban.

Semasa ditemui mereka berlegar di Sibu Jaya tanpa arah, mereka dikatakan membawa beg, dua payung dan wang tunai RM70.

Hasil pemeriksaan awal, mendapati keempat-empat kanak-kanak itu dipercayai dihalau dari rumah oleh ibu mereka.

Polis dikatakan cuba mengesan lokasi ibu bapa mereka tetapi tidak berjaya dan menyerahkan kes tersebut kepada JKM untuk menyelesaikannya.

Berita keempat-empat kanak-kanak terbabit mendapat perhatian ramai menerusi laman sosial kelmarin.