Penunggang maut motosikal gagal potong lori

0

MAUT: Mayat mangsa dan motosikal ditunggangnya kelihatan di tengah jalan selepas kemalangan itu.

BINTULU: Hasrat seorang lelaki ingin pergi ke tempat kerjanya tidak kesampaian setelah motosikal yang ditunggangnya dilanggar lori di Jalan Tanjung Kidurong di sini, sekitar jam 7.30 pagi semalam.

Semasa kejadian mangsa, Billy Tiong Chung, 24, dikatakan memotong lori berkenaan dengan menggunakan garis tengah jalan, namun motosikalnya tumbang lalu terperosok ke bahagian belakang lori sebelum digilis tayar lori terbabit.

Kejadian itu turut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian.

Mangsa dikatakan bekerja di sebuah syarikat memproses minyak kelapa sawit di kawasan perindustrian Tanjung Kidurong.

Polis serta agensi berkaitan menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat.