Kerajaan negeri sumbang kenderaan untuk Esszone

0

Oleh SITI AISYAH NARUDIN //

MUSA menyerahkan replika kunci kepada Malik (kanan) pada majlis penyerahan sumbangan kereta Hilux kepada Esszone.

KOTA KINABALU: Sebanyak lima buah kenderaan jenis Hilux Single Cab disumbangkan oleh kerajaan negeri untuk kegunaan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Malik Harun.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mempertimbangkan sebarang permintaan yang munasabah khususnya dari pihak keselamatan walaupun ia bukan bidang kuasa pihaknya.

Ini kerana katanya, ia adalah kewajipan kerajaan negeri dalam memberikan pertolongan dan menjalin kerjasama baik dengan pasukan keselamatan.

“Kita sentiasa berusaha untuk menghulurkan bantuan supaya apa juga hasrat dan kerja yang dijalankan pihak keselamatan berjalan lancar.

“Kerajaan negeri juga memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan yang sentiasa bekerja kuat siang dan malam demi menjaga keselamatan kita di Sabah ini,” katanya kepada media pada majlis penyerahan kenderaan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.

Musa berkata, pihaknya sering mengingatkan rakyat supaya memberikan kerjasama dan tidak ragu-ragu untuk melaporkan sebarang masalah kepada pihak Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom).

Sementara itu, Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun berkata, sejak penstrukturan semula Esszone, kerjasama erat dengan semua agensi keselamatan semakin dipertingkatkan.

Pada masa sama, pihaknya turut bekerja keras dan melaksanakan apa yang sepatutnya dengan menggunakan apa juga aset yang ada.

Mengulas mengenai lima suspek berhubung kes jenayah rentas sempadan di perairan Semporna Oktober lepas, Rashid menjelaskan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Menurutnya, kedudukan kelima-lima lelaki terbabit belum dapat dipastikan dan jika ada maklumat terkini, pihaknya akan mengambil tindakan segera.