Pemimpin perlu kerja keras dan sanggup tanggung risiko

0

MIRI: Seseorang pemimpin harus bekerja keras, sanggup menanggung risiko di samping komited menjalankan tugas supaya menjadi teladan kepada rakyat terutama di peringkat kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau berkata, ia merupakan kualiti yang mesti ada dalam diri seseorang pemimpin.

“Ia adalah ciri pemimpin yang dapat mengubah kehidupan rakyat kepada satu tahap lebih baik,” katanya pada perasmian Bengkel Adet Kelabit 2008 di Bario baru-baru ini.

Bengkel itu pertama kali  diadakan oleh pihak Majlis Adat Istiadat Sarawak.

Seramai 50 ketua kampung, pemimpin dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari rumah panjang Kelabit di sekitar kawasan itu mengikuti bengkel dimaksudkan.

Dennis memberitahu, seorang ketua juga semestinya menunjukkan komitmen penuh kepada jawatan disandang kerana ia memberi gambaran dalam hasil kerja mereka.

“Peranan ketua kampung atau ketua masyarakat bukan mengumpul harta kekayaan peribadi tetapi membentuk persekitaran selesa dan aman untuk rakyat jagaan mereka,” jelasnya.

Katanya ketua kampung juga mempunyai peranan menyatukan semua pihak serta mewujudkan kemahiran berkomunikasi yang baik.

“Komunikasi baik ini harus ada dalam memastikan setiap maklumat disampaikan diterima dengan tepat dan telus,” katanya.

Dennis turut menyerah geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM7,000 kepada Jawatankuasa Induk Ketua Masyarakat Kelabit Sarawak.

Turut hadir Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) Gerawat Gala.