Pindaan Kanun Tanah Sarawak tergesa-gesa

0

Oleh Andy Sabang //

Pindaan benarkan tanah NCR dibeli atau dijual kepada Bumiputera dan sebagainya

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui menyifatkan keputusan kerajaan melakukan pindaan terhadap Seksyen 5 Fasal 3 Kanun Tanah Sarawak 1958 sebagai tindakan tergesa-gesa.

Katanya buat masa sekarang, pemilik tanah NCR tidak dibenarkan untuk menjual atau memindah hak milik tanah NCR mereka kepada Bumiputera yang berasal dari rumah panjang atau kawasan berlainan.

Bagaimanapun, selepas pindaan dibuat dan diluluskan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), tanah NCR di Sarawak dibenarkan untuk dibeli atau dijual kepada sesiapa Bumiputera iaitu Melayu, Bidayuh, Iban, orang Ulu dan sebagainya.

Dari segi ekonomi jelas Ting, nilai tanah NCR secara tidak langsung juga akan meningkat sekiranya ia dapat dipindah milik secara sah atas nama pembeli atau mana-mana pihak yang berniat untuk membeli tanah tersebut.

“Namun apa yang membimbangkan ialah pindaan yang diluluskan ini akan membuatkan Bumiputera yang kaya-raya, wakil atau nomini yang sepakat dengan ahli politik dapat memperoleh tanah NCR dengan mudah.

“Kejadian tersebut sebenarnya telah berlaku sejak eksploitasi terhadap sumber semula jadi di negeri ini menerusi kegiatan penanaman kelapa sawit secara besar-besaran dan aktiviti pembalakan yang berleluasa,” katanya dalam e-mel beliau.

Dakwanya, ketika ini tanah NCR sudah banyak jatuh ke tangan mereka yang bukan Bumiputera tetapi menggunakan nama Bumiputera daripada sesuatu komuniti sebagai wakil untuk membeli tanah-tanah NCR.

Dengan kata lain dakwa beliau, tindakan meluluskan pindaan ke atas Seksyen 5 Kanun Tanah Sarawak 1958 seolah-olah mengesahkan jual beli tanah NCR kepada mereka yang bukan Bumiputera.

Ting turut mendakwa tindakan tergesa-gesa itu seperti bertujuan mengubah undang-undang agar jual beli tanah NCR kepada syarikat kononnya Bumiputera boleh dilaksanakan bagi tujuan membangunkan tanah tersebut.

Walhal katanya, syarikat berkenaan tidak membangunkan tanah NCR sebaliknya melantik atau mencari syarikat yang dimiliki oleh kapitalis milik bukan Bumiputera bagi melaksanakan aktiviti di atas tanah tersebut.

Menurut Ting adalah perkara lazim di mana golongan Bumiputera yang miskin terpaksa menjual tanah, harta benda atau barangan milik mereka sendiri pada masa kecemasan atau kesuntukan wang untuk mendapatkan tunai segera.

Ada antara mereka juga terpaksa menggadaikan tanah untuk mendapatkan duit yang sedikit misalnya bagi membiayai persekolahan anak mereka atau melanjutkan pengajian.

“Secara keseluruhan kalau pindaan ini dikuatkuasakan, jual-beli tanah NCR akan dikendalikan atas dasar ‘penjual rela pembeli rela’.

“Keadaan akan menjadi lebih teruk jika penjual tidak mempunyai pengetahuan tinggi yang akhirnya akan menyebabkan mereka kehilangan terus hak terhadap tanah NCR milik mereka,” jelasnya.

Ting berkata pindaan yang dibuat lebih memihak kepada para pelabur yang berminat dan pihak yang berkemampuan dari segi kewangan mendapatkan tanah NCR dengan harga murah dan kemudian memperoleh keuntungan besar daripadanya.