Rakyat harus peka pembangunan, berfikiran matang dan rasional

0

SRI AMAN: Rakyat harus sedar dan peka dengan gelombang pembangunan masa kini seterusnya mengubah pemikiran supaya lebih matang dan rasional, kata Ahli Dewan UNdangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.

Jelasnya, perubahan dalam pembangunan membuka satu transformasi minda dan idea bagi membentuk rakyat yang lebih maju pada masa akan datang.

“Kita perlu melangkah berani untuk menerus perubahan dalam usaha membentuk jati diri dan kematangan pemikiran,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika melawat Rumah Karin, Kampung Selepong, Sri Aman dekat sini baru-baru ini.

Katanya ini bukan masanya untuk rakyat berangan-angan sebaliknya harus memberi perhatian mencapai kejayaan diri selari dengan pembangunan negara.

Ujarnya kerajaan pada dasarnya banyak menyalur pelbagai projek pembangunan untuk rakyat, bukan sahaja di bandar malah rakyat luar bandar turut tidak ketinggalan.

“Justeru, amat rugi jika rakyat tidak mengambil kesempatan untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan ini. Jangan kita jadi rakyat yang membantutkan kemajuan negara,” katanya.

Di samping itu, beliau juga berkata menjadi tanggungjawab untuk mengekal perpaduan kaum dan saling bekerjasama antara satu sama lain supaya tidak berlaku sebarang perpecahan.

“Oleh itu, kita perlu bijak memilih pemimpin yang mampu memberi nikmat pembangunan. Kita harus menerus kepimpinan Barisan Nasional (BN) kerana ia banyak menyumbang kepada kemajuan yang kita nikmati sekarang,” katanya.

Pada majlis itu, Harden turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada beberapa JKKK Rumah Karin manakala RM3,000 kepada Biro Wanita.