X-ray digital menjelang 2015

0

Oleh NOORASVILLA MUHAMMA //

Membabitkan 86 pusat x-ray panel Growarisan Sdn Bhd

SANDAKAN: Sebanyak 86 buah pusat x-ray panel Growarisan Sdn Bhd di seluruh negeri ini akan menggunakan x-ray digital menjelang 2015 dalam usaha menambahbaik perkhidmatan pemantauan kesihatan pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Growarisan Yeoh Eng Lim berkata, penambahbaikan itu mampu mempercepat proses pendaftaran permit pekerja-pekerja asing yang berkaitan dengan keputusan kesihatan mereka.

Katanya, kelancaran itu mampu menyediakan maklumat kesihatan pekerja asing terkini kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam mengekang penyakit berjangkit yang dibawa oleh pekerja asing.

“Menerusi pelaksanaan proses transmisi imej dan data x-ray dalam bentuk digital ini, kita dapat mengurangkan tempoh pemeriksaan bagi seseorang pekerja asing dari empat hingga tujuh hari kepada tiga hari sahaja.

“Selain itu, hasil pemeriksaan juga lebih telus, berkualiti tinggi serta boleh dilihat dan dilaporkan dari sebarang tempat di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Growarisan dan Salinee Healthcare Sdn Bhd di Hotel Borneo Cove di sini, kelmarin.

Untuk rekod, berdasarkan statistik 2013, seramai 166,178 pekerja asing di seluruh negeri ini berdaftar dengan  Growarisan bagi menjalani pemeriksaan pemantauan kesihatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Salinee Healthcare Dr Ramasamy Kandasamy berkata, kerjasama dengan Growarisan merupakan pelaksanaan penggunaaan x-ray digital yang pertama dibawa ke negeri ini dalam versi yang terbaharu.

Katanya, teknologi itu bukan sahaja mampu menjimatkan masa dan kos, malah ia juga mesra alam berikutan tidak menggunakan bahan kimia.

“Panel doktor yang menggunakan x-ray digital mampu mengurangkan kos dari 45 hingga 55 peratus berbanding menggunakan cara analog.

“Kita juga boleh mengenalpasti sekiranya berlaku penyebaran sesuatu penyakit di sesebuah kawasan dengan lebih cepat bagi membolehkan langkah selanjutnya diambil oleh pasukan perubatan,” jelasnya.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Datuk Azlan Datuk Nasir yang mewakili Growarisan dengan Salinee Healthcare yang diwakili oleh Dr Ramasamy dan disaksikan wakil Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, Shariff Abdullah Shariff Along.

MoU bagi memantapkan lagi proses imej dan data x-ray dalam bentuk digital itu akan berkuatkuasa selama tiga tahun.