465 iklan perkhidmatan kesihatan dilulus sehingga Oktober: Subramaniam

0

KUALA LUMPUR: Sebanyak 465 iklan perkhidmatan kesihatan untuk hospital swasta, klinik swasta, klinik radiologikal swasta dan makmal perubatan swasta telah diluluskan Lembaga Iklan Ubat (LIU) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata semua iklan perkhidmatan kesihatan perlu mendapat kelulusan LIU sebelum disiarkan menerusi media cetak atau elektronik, berdasarkan peruntukan dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

“Sehingga kini terdapat 246 pemohon dari hospital swasta, klinik swasta, klinik radiologi swasta dan makmal perubatan swasta, selain Kumpulan KPJ pernah membuat permohonan kelulusan daripada LIU,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang ingin tahu jumlah lesen iklan yang telah dikeluarkan kepada hospital serta jumlah pegawai perubatan pakar asing yang berkhidmat di negara ini.

LIU yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ditubuhkan bertujuan membincangkan permohonan kelulusan iklan-iklan ubat dan perkhidmatan selain mempunyai kuasa membatal kelulusan yang telah diberikan.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata sehingga 30 Sept lepas, sebanyak 95 pegawai perubatan pakar warga asing telah diterima berkhidmat di seluruh negara.

Katanya, pegawai perubatan pakar dari India mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 46, diikuti Myanmar (20), Mesir (16), Pakistan (empat), Singapura, Indonesia dan Iraq masing-masing dua orang manakala Bangladesh, Bhutan dan Syria masing-masing seorang.

Antara bidang kepakaran perubatan yang banyak mendapat khidmat daripada pegawai perubatan pakar asing adalah oftalmologi dan bedah umum masing-masing sebanyak 14 orang, obstetrik dan ginekologi (11), perubatan dalaman (10) manakala pediatrik (tujuh), katanya. — Bernama