Pertembungan di jalan licin

0

KASIHAN: Orang awam mengerumuni mangsa kemalangan dan cuba menghulurkan bantuan semalam.

Penunggang motosikal cedera nahas dengan kereta

BINTULU: Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 2 1/2 Jalan Sultan Iskandar di sini, pagi semalam.

Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi dipercayai akibat jalan licin selepas hujan awal pagi.

“Penunggang motosikal itu dipercayai berada di laluan ke arah medan, manakala pemandu kereta dalam perjalanan keluar dari simpang berdekatan jejantas menuju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu sebelum berlakunya kemalangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berkenaan terbaring di atas jalan dan difahamkan berdarah di bahagian hidung dan mulut,” katanya.

Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu bergegas ke tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan dan menghubungi ambulans.

Manakala, pemandu kereta itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Punca kejadian masih dalam siasatan.