Skuad baharu berpotensi besar

0

BERPOTENSI BESAR: Pemain memanaskan badan sebelum sesi latihan bermula di Padang C semalam.

Abu Bakar yakin pemain baharu mampu bantu Sarawak harungi Liga M musim depan

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Pengurus Pasukan Sarawak Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki tidak bimbang dengan kehilangan beberapa pemain tonggak yang berhijrah menyertai pasukan lain pada musim depan.

Ini kerana beliau yakin enam pemain baharu yang diserap mampu membantu Sarawak mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada Januari 2015.

“Setelah melihat pemain baharu ini menjalani latihan, saya yakin mereka berpotensi besar dan dapat membantu kita mengharungi saingan.

“Malah, saya tidak hairan jika sebahagian daripada mereka akan dipanggil mewakili negara selepas ini,” katanya semalam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengulas, pemain yang baharu diikat dari Perak, Partiban Janasekaran cukup berpotensi dan dapat menggantikan tempat S Chanturu sebagai penggempur baharu.

Selain itu, pemain muda seperti Sabri Sahar katanya juga sangat berbakat dan bakal menjadi aset penting pasukan di masa depan.

“Mereka mempunyai kualiti yang setanding dengan pemain sebelum ini…malah mampu pergi dengan lebih jauh lagi.”

Menurutnya lagi, pemain remaja tempatan seperti Tommy Mawat dan Shreen Tambi juga berpeluang untuk melangkah dengan lebih jauh.

Setakat ini, Sarawak telah mengikat Partiban Janasekaran (sayap, Perak), Varadhan Arumugam (pertahanan, Selangor), Sabri Sahar (tengah, Sabah), Mohd Nazri Mohd Kamal (penyerang, Perak), Mohd Iqbal Suhaimi (penjaga gol, Pahang) dan Mahadevan Gangadheran (tengah, Perak).

Skuad Ngap Sayot meneruskan latihan seperti biasa di Padang C semalam.

Sementara itu, hanya Ivan Patic dan Kwon Jun tinggal menjalani ujian untuk mengisi slot penyerang import yang ditinggalkan Muamer Salibasic dan Hassan el Mohamed.

Dua lagi pemain, Kevin Amuneke dari Sweden/Nigeria dan Jose Emilio dari Portugal telah kembali ke tanah air masing-masing.

Setakat ini, Ivan dari Mentenegro dan Kwon kelahiran Korea Selatan dilihat pilihan utama Sarawak untuk mengisi posisi tersebut.

Sementara itu, Abu Bakar menjelaskan belum ada kata putus dicapai mengenai perlawanan persahabatan di Phuket, Thailand dari 11 hingga 21 Disember.

Bagaimanapun, kem latihan di Miri pada 28 November, diikuti perlawanan menentang Sabah pada 30 November di Kota Kinabalu dan sesi bertemu peminat di Limbang akan diteruskan mengikut jadual.