Saturday, January 25

Dr Sim akan membangkitkan isu harga minyak di Dewan Negara

0

KUCHING: Ahli Dewan Negara, Senator Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian akan cuba mendapatkan penjelasan lebih terperinci mengenai penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel yang mengikut kaedah pengapungan terkawal di Dewan Rakyat.

Menurutnya, beliau akan membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan yang dijadualkan bermula 1 Disember ini kerana ia dilihat turut membabitkan kos hidup rakyat.

“Kita sebenarnya perlu melihat perkara ini secara lebih terperinci kerana ia juga pastinya akan membabitkan kos hidup rakyat.

“Saya akan membangkitkan isu ini kepada menteri berkaitan dan juga Perdana Menteri semasa persidangan Dewan Negara yang bermula pada 1 Disember ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan peralatan kebun kepada peserta Kebun Komuniti Sungai Apong di sini, semalam.

Jelas beliau, butiran terperinci mengenai penetapan harga itu perlu kerana walaupun RON95 tidak lagi disubsidi tetapi ia masih menggunakan kaedah pengapungan terkawal sedangkan petrol yang lebih mahal iaitu RON97 tidak melalui pengapungan.

Beliau berkata, antara penjelasan yang akan dibangkitkan adalah langkah yang diambil kerajaan bagi menggantikan pelaksanaan sebelum ini agar ia dapat terus membantu rakyat.

“Kita faham kerajaan berbuat demikian untuk membanteras segala aktiviti yang tidak baik termasuk penyalahgunaan subsidi atau penjualan diesel tetapi ia hanya minoriti.

“Namun majoriti daripada rakyat kita memerlukan ia (subsidi) disebabkan kos sara hidup yang tinggi. Ini sebenarnya perhatian utama kita bukan sahaja rakyat di bandar tetapi luar bandar khasnya Sarawak,” tegasnya.