Tuesday, August 9

Larian maraton malam dapat sambutan

0

Oleh Mastura Ismail //

GAYA HIDUP SIHAT: Peserta melakukan aktiviti pemanas badan sebelum berlari.

BERBEKAL minat mendalam terhadap sukan larian yang disertai sejak zaman remaja lagi membuatkan pelari terkenal Chua Eng Hin 60-an meneruskan sukan tersebut dalam suasana berbeza pada waktu malam.

Beliau dan cucunya Wong Qian Yue, yang turut menunjukkan minat terhadap sukan larian sejak berusia empat tahun bersama-sama menjayakan larian pra maraton sejauh empat kilometer mengeliling pusat bandar.

Jelasnya aktiviti larian itu dilakukan selepas kejayaannya menyertai Larian Maraton di Kuching anjuran CJC Jogger Club Kuching 14 Ogos lepas.

Program itu, jelasnya disertai 50 pelari yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia, jantina dan kaum selepas penganjurannya dipromosikan melalui laman Facebook.

“Apabila senja melabuhkan tirainya, para peserta begitu teruja dan bersedia untuk memulakan larian masing-masing apabila dilepaskan tepat jam 7 malam di Dataran Jubli Emas,” katanya.

Chua yang juga menguruskan Pusat Perkhidmatan Kereta Duckhem Limbang berkata larian kali ini berlainan daripada larian tahun-tahun sebelumnya kerana ia diadakan pada waktu malam.

Ia jelasnya merupakan satu kempen global untuk membudayakan aktiviti sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat selain menyuburkan semangat kerjasama, perpaduan dan hubungan antara peserta.

“Matlamat utama larian ini terus membudayakan gaya hidup sihat dan mewujudkan peluang buat pelari di daerah ini membuat larian pada waktu malam kerana sukan larian antara salah satu acara yang semakin mendapat sambutan,” katanya.

Bertemakan larian untuk jantung sihat Chua berkata aktiviti serupa akan diadakan lagi pada masa-masa akan datang.

MENDAPAT SAMBUTAN: Peserta yang menyertai larian maraton malam di Dataran Jubli Emas.