Saturday, August 15

Lombong arang batu meletup

0

LOKASI KEJADIAN: Pihak polis mengawal pintu masuk ke terowong tersebut.

 

MAUT: Tiga pekerja asing yang terkorban dibawa ke Hospital Sri Aman menggunakan kenderaan persendirian syarikat tersebut.

PARAH: Pekerja warganegara Korea Utara yang terpaksa diberi alat bantuan penafasan, tiba di HUS semalam.

 

Oleh Sandy Mark Luna dan Edwin Raoh //

KUCHING: Tiga warganegara asing maut manakala sekurang-kurangnya 26 pekerja lain cedera apabila sebuah lombong arang batu di Selantik, Pantu di Sri Aman, kira-kira 130 kilometer dari sini, meletup semalam.

Mereka yang dikenal pasti sebagai Tun Tun Win, 36, dari Myanmar, Pang Chung Hyok, 29, dari Korea Utara dan Kardianto, 38, dari Indonesia dipercayai terbunuh di tempat kejadian dalam terowong sedalam 69 meter dan pada jarak 451 meter dari pintu masuk lombong tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, semasa kejadian seramai 29 pekerja yang berada di dalam terowong terus bergegas keluar menyelamatkan diri di samping membantu pekerja yang mengalami kecederaan serius.

“Kejadian yang berlaku lebih kurang jam 9 pagi itu dipercayai bermula daripada percikan api kipas angin yang rosak seterusnya menyebabkan kebakaran gas dalam terowong dan letupan, namun terpadam sendiri apabila gas habis,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

CEDERA: Pekerja-pekerja asing menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sri Aman.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Ma­laysia Negeri Farhan Sufyan Borhan berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman bergegas ke tempat kejadian yang dianggarkan sejauh 65 kilometer sejurus menerima panggilan kecema­san sekitar jam 11.32 pagi.

Beliau turut mengesahkan, tidak ada pekerja yang terper­angkap di dalam terowong memandangkan kesemua mangsa dipindahkan sebaik kejadian berlaku.

“Pasukan bomba masih membuat pemantauan di lokasi itu bagi memastikan kawasan tersebut selamat,” katanya.

Mayat ketiga-tiga pekerja yang terkorban dalam let­upan itu dibawa ke Hospital Sri Aman dan akan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, esok.

Manakala, pekerja-pekerja warganegara asing termasuk dari Korea Utara, China, In­donesia dan Bangladesh telah dihantar ke Hospital Sri Aman, Hospital Serian, Klinik Pantu dan HUS semalam.

Turut difahamkan, enam lagi pekerja warganegara Ko­rea Utara dihantar terus dari lokasi kejadian ke HUS meng­gunakan kenderaan peribadi, tetapi salah seorang daripada mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Namun setakat jam 7 malam tadi, jumlah sebenar yang cedera mengikut warganegara tidak dapat dipastikan beriku­tan percanggahan laporan iaitu sekitar 26 hingga 31 orang.

Bagaimanapun, keban­yakan daripada mangsa diru­juk ke HUS, termasuk tiga orang cedera ringan yang turut ditahan di wad.

Lombong yang berop­erasi sejak lapan tahun lalu itu mempunyai 119 pekerja den­gan warganegara Korea Utara seramai 46 orang, China (15), Myanmar (29), Indonesia (19) dan Bangladesh (10).

Insiden serupa turut ber­laku di Abok di Pantu, Sri Aman pada 30 Mac 2012 yang mengorbankan empat warganegara China.