‘Pit stop’ pengayuh basikal

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Medan Hamidah pusat pelbagai kelab berbasikal beriadah, bersukan

KUCHING: Tapak dan bangunan Medan Hamidah, Jalan Bako di sini yang merupakan harta wakaf kini dipromosikan sebagai ‘pit stop’ untuk pengayuh basikal dari pelbagai kelab berbasikal untuk beriadah dan bersukan.

Malah, ia juga dapat dijadikan sebagai kawasan pertemuan pengayuh pelbagai tempat seluruh negeri ini malah juga dari luar Sarawak yang berhasrat untuk berkumpul di satu kawasan untuk berkongsi pengalaman serta latihan basikal.

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, TBS berbesar hati menawarkan kawasan riadah kepada kumpulan pengayuh basikal dari pelbagai tempat menggunakan tapak serta bangunan wakaf Medan Hamidah.

Pada masa sama, juga sebagai menarik lebih ramai pengunjung datang ke Medan Hamidah bagi menyaksikan aktiviti yang diadakan oleh kelab-kelab berbasikal dan melakukan kerja-kerja amal.

“Di Medan Hamidah terdapat satu kafe yang dinamakan ‘Your Choice Cafe (YCC)’ di bawah Koperasi Al-Bait kendalian TBS.

“Sambil beriadah dan berhibur dengan aktiviti yang diadakan di sini, orang ramai juga boleh beramal dengan membeli makanan dan minuman dijual di sini dan hasil jualan itu adalah milik kebajikan masjid dan anak-anak yatim,” katanya pada Majlis Pelancaran ‘Bikers Haven’ di Medan Hamidah, Jalan Bako dengan kerjasama Kelab Berbasikal Corbusier di sini semalam.

Selain itu, pengayuh basikal juga disarankan mengunjungi rumah orang miskin di kampung-kampung sekitar ketika menjalankan aktiviti berkayuh basikal.

Tambah beliau, setiap pengayuh basikal berkunjung ke sini juga dapat menjadikannya sebagai wahana jalinan hubungan agar lebih rapat di samping berkongsi idea memantapkan latihan mahupun kepakaran mengayuh dengan pengayuh lebih profesional.

Katanya, ia juga diyakini mampu menarik minat golongan belia negeri ini khususnya untuk berjinak serta menyertai sukan berbasikal.

“Kawasan Medan Hamidah diharap mampu menarik ramai pengunjung terutamanya belia yang berminat menyertai sukan berbasikal mengetahui lanjut mengenai penyertaan mahupun informasi mengenai sukan itu,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Kelab Berbasikal Corbusier, Safri Mohammed.