30,000 guru diperlukan

0

Perluas pengajaran bahasa ketiga di semua sekolah: TPM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30,000 guru diperlukan jika pengajaran bahasa ketiga termasuk bahasa asing ingin diperluas di semua sekolah di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhy-iddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kementeriannya sememangnya mempunyai dasar berhubung pengajaran bahasa ketiga antaranya bahasa Arab, Cina, Tamil, Perancis dan Sepanyol di sekolah tertentu, namun bilangan pelajar yang terlibat adalah kecil.

“Ini satu usaha untuk membolehkan lebih ramai anak Melayu tahu apa yang dibicarakan oleh rakan mereka daripada anak Cina dan Tamil.

“Tapi kalau nak ajar di semua sekolah, saya perlu lantik 30,000 guru kerana terdapat 10,000 sekolah di seluruh negara dan jika setiap sekolah mempunyai tiga guru bahasa ketiga, maka 30,000 orang guru diperlukan… jumlahnya amat besar.

“Tapi dengan sokongan perwakilan sekalian, jawatan baharu itu akan dapat diwujudkan dan seterusnya memudahkan pelaksanaan dasar ini,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra, yang berakhir semalam.

Mengulas tentang laporan bahawa ramai pelajar sekolah tidak mampu bertutur bahasa Melayu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata beliau telah mengarahkan kajian menyeluruh terhadap kurikulum dan guru dijalankan segera bagi mengatasi masalah itu.

“Kajian ini meliputi jadual waktu pembelajaran, kandungan kurikulum, bentuk peperiksaan supaya dalam satu tempoh yang munasabah kita dapat meningkat-kan kualiti bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong yang memetik hasil kajian pada 2010 bahawa 604 peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berbangsa Cina dan India tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Dalam ucapan kira-kira 30 minit itu, Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan Yayasan Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional yang akan dipengerusikan bersama dengan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh sebagai usaha membantu aktiviti per-satuan di semua sekolah seluruh negara.

Katanya sebagai permulaan, kerajaan memperuntuk sebanyak RM200 juta kepada yayasan itu, dan pada masa sama akan be-rusaha mendapatkan dana tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta swasta.

Muhyiddin berkata dana itu akan diagih untuk semua sekolah terutama di luar bandar dan pedalaman.

Muhyiddin menarik perhatian dengan berkata isu pendidikan merupakan antara yang ‘paling hangat’ dalam perbahasan perhim-punan kali ini apabila 121 usul daripada 638 usul atau 20 peratus adalah berkaitan isu berkenaan.

“Saya ikuti perbahasan kali ini yang disentuh khususnya tentang sekolah kebangsaan, kualiti guru dan demikian juga dengan infrastruktur di sekolah. Ini membuktikan soal pendidikan sentiasa diberi perhatian dan keutamaan…terima kasih kepada semua perwakilan,” jelasnya.

Muhyiddin turut melahirkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sentiasa me-letakkan pendidikan sebagai agenda utama negara menerusi peruntukan besar dalam bajet tahunan.

“Ini dibuktikan dalam Bajet 2015 yang diluluskan di Parlimen dua hari lalu melibatkan peruntukan RM56.6 bilion atau 20.11 peratus daripada keseluruhan bajet yang berjumlah RM273.9 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak peruntukan dapat diberi kepada Kementerian Pendidikan dalam bajet akan datang terutama dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhid-matan (GST) mulai 1 April 2015 untuk memantapkan sistem pendidikan negara.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata 80 peratus daripada 10 juta pekerja dalam sektor awam dan swasta di negara ini hanya mempunyai taraf pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga menyebabkan mereka memperoleh pendapatan yang amat rendah.

Sehubungan itu, kerajaan komited untuk terus membangunkan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai usaha meningkatkan kemahiran pelajar agar dapat memasuki pasaran kerja yang bukan sahaja memberi pendapatan lumayan, malah menjamin masa depan mereka.

“Sebab itu dalam Bajet 2015, kementerian diberi RM1.2 bilion untuk bolehkan kita sediakan infra-struktur, sekolah dan kolej vokasional tahun depan.

“Daripada jumlah itu, RM100 juta akan diguna untuk beli tempat di sekolah swasta bagi menam-pung 10,000 pelajar dan dalam hal ini kita akan bagi keutamaan kepada anak Melayu dan Bumiputera,” katanya. — Bernama