Paralimpik 2016 pasti berjaya

0

Oleh Agnes Tugong

PASTI BERJAYA: Fatimah (tengah) meneliti dokumen mengenai persiapan Sukan Paralimpik 2016 yang diyakini pasti berjaya dianjurkan di Sarawak. Turut kelihatan Haris (kiri), Abang Shamsuddin, Dr Ong dan Adjohari (kanan) di Kuching semalam.

KUCHING: Temasya Sukan Paralimpik 2016 pasti akan berjaya dilangsungkan di Sarawak dengan semangat kesukanan dan kerjasama tinggi ditunjukkan oleh para atlet dan semua pihak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah yakin dengan keupayaan Sarawak sebagai tuan rumah berkata kekurangan fasiliti yang mesra OKU tidak menjadi kekangan kepada penganjuran temasya itu di negeri ini.

Menurutnya, meskipun Sarawak masih ketinggalan dari segi fasiliti sukan OKU namun mempunyai tenaga sukarelawan mencukupi memastikan kelancaran para atlet.

“Apabila kita dipilih sebagai tuan rumah bagi Sukan Paralimpik 2016, perkara pertama menjadi kebimbangan saya ialah mampukah kita melakukannya terutama dari segi mobiliti untuk menggerakkan para atlet kita.

“Saya pernah mengikuti Sukan Paralimpik di Pahang dan terdapat banyak bas mesra OKU disediakan mengangkut para atlet dari tempat penginapan ke lokasi kejohanan dan di Sarawak kita tidak mempunyai bas seperti itu untuk menggerakkan para atlet.

“Tetapi, rakan kita dari Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU Sarawak (PESRON) iaitu Timbalan Presidennya, Adjohari Jamil memberi keyakinan bahawa kita mampu melakukannya sekali lagi seperti yang telah kita jayakan pada temasya Sukan Paralimpik 1996 dahulu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama rombongan Jabatan Belia dan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak, PERSON dan beberapa pihak lain bagi menjayakan Sukan Paralimpik 2016 di Sarawak nanti.

Tambah Fatimah, melihat kepada semangat tinggi yang ditunjukkan oleh para petugas maka tiada sebab mengapa Sarawak tidak mampu menganjurkan Sukan Paralimpik 2016 dengan jayanya dan lebih baik daripada penganjuran sebelumnya.

“Benar kita tidak mempunyai fasiliti bas yang mencukupi untuk mengangkut para atlet tetapi kita mempunyai tenaga sukarelawan yang ramai membantu para atlet kita bergerak ke lokasi kejohanan.

“Dengan semangat dan kerjasama tinggi ini sudah pasti Sukan Paralimpik akan berjaya dianjurkan di Sarawak pada 2016 nanti,” tambahnya.

Dalam pada itu, untuk rekod Sarawak muncul juara kali ke-11 berturut-turut pada temasya Sukan Paralimpik yang berlangsung di Perlis tahun ini.

Kontinjen Sarawak menyertai enam acara dipertandingkan iaitu olahraga, renang, tenpin boling, power lifting, petanque dan badminton melibatkan 124 orang atlet dan 41 pengurus, pengawai serta jurulatih.

Sebagai tuan rumah pada temasya 2016 nanti, Sarawak mempunya i ke l ebiha n menetapkan acara dipertandingkan serta peraturan yang akan membolehkan penyertaan dibuka kepada semua dan tidak terhad kepada umur tertentu.

Bagi memastikan kelancaran kejohanan itu nanti, sebaik kabinet bersetuju menjadi tuan rumah perbincangan segera diadakan berhubung kejohanan itu serta persediaan fasiliti kepada para atlet dan petugas.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Haris Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee, Timbalan Presiden PESRON Adjohari Jamil, Pengarah Kebajikan Negeri Abang Shamsudin Abang Seruji serta lain-lain.