Orang ramai dipelawa meriahkan aktiviti kemasyarakatan

0

KUCHING: Koperasi Bidayuh Kuching Berhad (KOBIB) mempelawa orang ramai untuk memeriahkan aktiviti kemasyarakatan yang akan diadakan di Siburan pada Sabtu (13 Disember) ini.

Pengurus KOBIB Male Nyiur berkata, pelbagai aktiviti akan diadakan selama sehari di Restoran Wei Thian di Siburan bermula seawal jam 8.30 pagi.

“Antara aktiviti yang akan diadakan ialah Seminar Keusahawanan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pemeriksaan kesihatan percuma serta pelbagai pameran menarik seperti kraf tangan, kesihatan dan sebagainya.

“Orang ramai dijemput untuk memeriahkan acara ini nanti kerana kami ada memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk melakukan pemeriksaan percuma termasuk pemeriksaan kanser dan suntikan HPV untuk wanita termasuk pengurusan emosi. Jangan lepaskan peluang menarik ini,” katanya kepada pemberita, semalam.

Jelas Male, aktiviti kemasyarakatan itu mendapat sokongan penuh pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Persatuan Graduan Bidayuh, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), MPKP Mambong, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) serta Pejabat Daerah Siburan.

Penyertaan adalah percuma dan makanan serta minuman turut disediakan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri James Dawos Mamit dijangka hadir menyempurnakan majlis perasmian acara itu kelak.