UNIMAS mampu harungi cabaran dunia global

0

PERJANJIAN PERSEFAHAMAN: Kadim (tiga kiri) berjabat tangan dan bertukar salinan MoU dengan Roesdiman (tiga kanan) selepas memeterai MoU pada Majlis Menandatangani MoU antara UNIMAS dan UNTAR, di Kota Samarahan, semalam.

Mengorak langkah setapak ke hadapan dengan termeterainya MoU dengan UNTAR, Jakarta, Indonesia

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Tarumanagara (UNTAR), Jakarta, Indonesia.

Perjanjian itu jelas membuktikan kemampuan UNIMAS dalam mengharungi cabaran dunia global selain berkongsi platform pendidikan dan persekitaran pembelajaran dengan universiti luar negara.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata jaringan perhubungan antara kedua-dua universiti itu akan memantapkan lagi perkembangan jaringan mahasiswa daripada pelbagai jurusan terutama dalam pelbagai aspek akademik yang ditawarkan.

“Kita harap, menerusi MoU yang dimeterai hari ini (semalam), mahasiswa UNIMAS dan UNTAR dapat berkongsi latar belakang pendidikan menerusi pembelajaran dan aktiviti penyelidikan yang disediakan.

“Malah, kita juga dengan bangganya ingin memaklumkan, UNIMAS sendiri mempunyai kira-kira 580 mahasiswa antarabangsa daripada 21 negara berbeza di seluruh dunia dan dalam jumlah itu, China dan Indonesia merupakan dua negara yang menyumbang mahasiswa paling ramai di sini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, ia jelas memperlihatkan kemampuan UNIMAS bergerak seiring dengan universiti antarabangsa di luar negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU bersama Rektor UNTAR Profesor Roesdiman Soegiarso, di Rumah Universiti di sini, semalam.

Potensi kolaboratif antara UNIMAS dan UNTAR bakal membuka peluang kepada mahasiswa dalam memperkasa program pertukaran mahasiswa dan kakitangan universiti, kolaboratif dalam projek penyelidikan, pertubuhan dalam penganjuran aktiviti gabungan, gabungan perundingan serta pertukaran harta intelek akademik.

UNTAR, sebuah universiti swasta merupakan antara universiti terawal di Jakarta, Indonesia yang dibina kira-kira 55 tahun lalu.

Ia menawarkan lapan fakulti dengan 28 jurusan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana serta dua jurusan di peringkat Doktor Falsafah (PhD).